Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

>> Sunday, February 28, 2010

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.

Salah satu ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dimasukkan ke dalam botol dan dicampurkan sedikit dengan air mineral atau air minuman yang lain.

8. Gunakan air tadi untuk memandikan anak-anak yang bermasalah. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.


Pencegahan Awal

Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut;



Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi

Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan.

Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.

Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak.

Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.

Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan. Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat.

Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah.

Doa-doa yang disarankan oleh Islam ketika mengadakan hubungan intim suami-isteri

1. Doa Bersetubuh
(Doa Seperti diatas).

2. Doa ketika hampir keluar mani

Baca ayat ini ketika suami terasa air maninya akan terpancut keluar. Oleh sebab ianya ayat al-Quran maka hendaklah membacanya di dalam hati.



Terjemahannya: Dan Dialah (Allah) yang menciptakan manusia dari air mani, lalu dijadikannya (mempunyai) baka keturunan dan pertalian keluarga dan sememangnya Tuhan mu Maha Berkuasa (Surah al-Furqaan ayat 54)
Oleh: Ibnuumar Asseluluni

Wallahu’alam

Read more...

Perutusan Maulidur Rasul dari Prof. Dato’ Dr Haron Din Perutusan Maulidur Rasul: Laksana ajaran Nabi dalam pemerintahan

>> Tuesday, February 16, 2010

MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat.
Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola.
Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.
Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengan cara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.
Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun ‘pengharaman arak’ untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.
Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.
Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan.”
Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.
Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

* Dato’ Dr Haron Din

Read more...

Bolehkah kita beramal dengan ilmu perubatan yang diperolehi daripada dalam mimpi?

>> Monday, February 15, 2010

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seseorang yang nampaknya amat alim berjubah, berserban, bertasbih dan bersih cahaya mukanya, serta berbau wangi bila mendampinginya, dia mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubat orang yang sakit, dengan syarat-syarat berikut.

1. Saya diminta berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut.
2. Saya disuruh bersolat tahajjud di malam-malam saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam.
3. Saya diminta menjamu anak yatim seramai 40 orang.
4. Saya disuruh menyembelih kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga.
5. Saya berzikir selama seminggu tanpa henti, siang dan malam, selepas itu saya boleh mengubati orang.

Apakah pandangan Dato' tentang perkara ini, bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalan-amalan ini?

MUHAMMAD NASRUN ABDUL RAHIM
Serendah, Selangor.

Jawapan oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan daripada mimpi ini berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang terdapat padanya sesuatu yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya berlaku hasil daripada kerja syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi, yang merupakan sedikit sahaja daripada kebolehan mereka. Jarang sangat yang berlaku dalam mimpi itu mewakili yang sah ataupun yang sebenar.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda menyatakan (mafhumnya), "Tidak tinggal daripada nubuwwah (kenabian) melainkan al-Mubashshirat. Sahabat bertanya apakah dia al-Mubashshirat itu wahai Rasulullah? Maka Nabi menjawab ia adalah mimpi-mimpi yang benar (ar-Rukya as-shadiqat)."

Mimpi-mimpi yang benar ini adalah suatu yang amat jarang berlaku. Kadang-kadangnya dilihat sebagai benar, tetapi jika diteliti sebenarnya ia tidak.

Oleh kerana manusia begitu mudah mempercayai mimpi, sedangkan mimpi manusia tidak seperti mimpi Anbiya atau al-Mursalin. Mimpi para Nabi dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi kita lebih banyak terdedah kepada berbagai penipuan iblis.

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta saudara melakukan semuanya perkara yang disyariatkan.

Tetapi, persoalannya, apakah anda tidak pernah mendengar sebelum daripada mimpi itu, ada sunat berpuasa, ada solat tahajud, ada suruhan memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim, ada suruhan menyembelih kambing membuat kenduri, ada suruhan berzikir kepada Allah S.W.T? Jika saudara pernah mendengarnnya, apakah anda melakukan perkara-perkara itu sebelum bermimpi? Kalau jawapannya tidak, bermakna saudara tidak percaya dengan pengetahuan yang disebut oleh manusia, daripada ulama muktabar dan daripada kitab-kitab yang secara terang-terangan menyuruh semua perkara itu?

Maka mengapa bila sudah ia hadir dalam mimpi, maka baru lah saudara hendak melakukannya. Soal saya, kenapa dilakukannya, jawapannya ia diperolehi di dalam mimpi. Maka, siapa yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu.

Kalaulah ditakdirkan bahawa orang yang ada mimpi itu akhirnya terbukti ia bukan insan biasa, bukan seorang alim tapi ia suatu penjelmaan makhluk halus atau qareen atau apa sahaja namanya, sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana mimpi. Bukan hendak mendapat pahala atau redha Allah, tetapi hendak menjadi seorang perawat yang hebat, bagi tujuan keduniaan

Oleh yang demikian, antara dua kemungkinan sama ada benar mimpi itu daripada orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah atau berkungkinan ianya suatu lakonan iblis, maka saudara dinasihati lebih baik jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana syaitan.

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah ia bukan kerana mimpi, lakukanlah kerana Allah sebagaimanya yang termaktub dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan berbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang sebutkan tadi.

Lupakan hal mimpi itu dan lakukan hal itu kerana Allah S.WT. Adapun ilmu pengetahuan secara umumnya, Islam meletakkan saluran untuk menyebarkan ilmu, disebut dalam al-Quran, firman Allah yang mafhumnya;

"Dan tidak Kami utuskan sebelum daripada kamu wahai Muhammad, melainkan Nabi daripada kalangan laki-laki, yang kami wahyukan kepada mereka semuanya, maka tanya lah ahli-ahli yang cukup ilmu jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahli, ayat 43)

Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah 'alhaz zkri', ahli-ahli yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah S.WT iaitu ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah, kita mengambil ilmu daripada ulama yang muktabar.

Dalam konteks ini, sudah cukup ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan, sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah.

Jangan mengambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pastikan siapakah yang saudara temui dari mimpi itu. Wallauhua'lam.

Read more...

BENARKAH RASULULLAH TIDAK PERNAH MENGUBAT ORANG YANG SAKIT?

>> Friday, February 5, 2010

Soalan

Saya mendengar seorang penceramah mengulas sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w., pernah dibawa kepadanya seorang pesakit meminta diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain.
Kata penceramah itu Rasulullah tidak mengubatkan pesakit. Oleh itu bagaimana kita hendak kaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi tidak melakukannya? Mohon dijelaskan kesahihan hadis tersebut.

AHMAD NIZAM YAAKUB
Likay Perdana, Hulu Kiang
Jawapan

Hadis yang dirujukkan penceramah tersebut adalah betul. Ia adalah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim dalam juzuk kelima.

Hadis sepenuhnya bermaksud begini:

Disebut lbnu Syihab az-Zukhri katanya; seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w., sengatan ular ini amat serius, lelaki itu berada di dalam sangat kritikal. Lalu Nabi bertanya kepada sahabat, apakah ada orang yang mahir mengubati bisa ular. Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Aalu Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini. Nabi bertanya siapakah nama pengubat yang terbaik itu, lalu mereka menjawab ‘Ammarah Ibnu Hazmin. Pesakit ini dibawa berjumpa dengan ‘Ammarah, tetapi beliau enggan mengubatkannya. Lalu pesakit ini dibawa berjumpa Rasulullah s.a.w. semula.

Nabi bertanya ‘Ammarah mengapa beliau enggan merawat. Jawabnya, saya telah memeluk agama Is­lam dan saya Mendengar Rasulullah s.a.w. melarang jampi mantera untuk rawatan. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepada beliau, bukan semua jampi mantera diharamkan. Ada yang boleh diamalkan jika tiada dalam jampi itu perkataan yang syirik. “Nabi menyuruh ‘Ammarah membaca jampi yang ada padanya untuk rawatan bisa tersebut. Selepas mendengarnya, Nabi membenarkan ‘Ammarah membacanya untuk tujuan pengubatan. Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT”

Permasalahan yang saudara bangkitkan, dengan ulasan penceramah tersebut, seme­mangnya boleh mencelarukan orang yang mendengarnya. Malah boleh memecah­ belahkan orang yang kurang ilmu penge­tahuannya tentang hadis.
Orang yang banyak membaca dan mema­hami ilmu syariat, khususnya menguasai hadis-hadis Nabi yang banyak boleh memahami hadis ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum, tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadis sahih sahaja. Tidak wajar, daripada satu hadis sahaja penceramah sudah membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain, kononnya Nabi tidak pernah mengubatkan pesakit.

Hadis-hadis sahih tentang pengubatan, saya dapati amat banyak. Memudahkan untuk kita memahami hadis-hadis ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis sahih tersebut, dikumpul­kan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil ‘Babuttadawi’ (Bab Mengubat Penyakit). Saya menyimpulkan semua hadis­-hadis sahih tentang bab pengubatan penyakit ini dalam sekurang-kurangnya enam keadaan yang berlainan tetapi mempunyai signifikan yang sendiri.

Senario Pertama

Pesakit datang berjumpa Rasulullah s.a.w. meminta dirawat dan Nabi sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadis baginda sendiri. Ia terdapat misalnya dalam hadis dari Uthman Ibnul ‘Ass dan Aisyah binti Abu Bakr yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. mengubati keluarganya yang sakit. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Demikian juga Anas bin Malik mencerita­kan bahawa Tsabit al-Banani datang kepada baginda mengadu sakit, lalu Nabi merawat­nya. Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas, iaitu datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu, aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah s.a.w. ke atas ku. Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampi nya dengan jampi Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Senario Kedua

Nabi mengajar sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadis dari Aisyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubat penyakit..

Senario Ketiga

Nabi sendiri yang sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya. Sebaliknya diubati oleh Jibril a.s. Hal ini boleh dilihat dari hadis, Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Jibril mendatangi Rasu­lullah s.a.w. lalu berkata, wahai Muhammad apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibril menjampikan baginda.” (Hadis Sahih Muslim).

Ini menunjukkan, bahawa pasti ada pera­wat kepada yang sakit. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakar lain dalam bidang-bidang tertentu.

Senario Keempat

Nabi s.a.w. sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Aisyah rha. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengadu kesakitan, baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Senario Kelima

Pesakit yang mahir ataupun pakar, boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku, ada ketikanya Jibril yang merawat ke­tika Rasulullah sakit dan dalam hadis sahih se­perti peristiwa menjelang kewafatan baginda, baginda meminta Aisyah rha. merawatnya.

Pada mulanya Aisyah enggan merawat Nabi kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah. Oleh kerana Rasulullah sendiri yang meminta Aisyah membacanya, lalu Aisyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan meme­gang tangan Rasulullah sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu.

Dalam senario ini juga, Nabi meminta Aisyah membawa sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan, lalu Nabi mencelupkan tangannya di dalam air itu, lalu Nabi menya­pukannya di muka dan di badan baginda.

Senario Keenam

Nabi tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Senario ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadis tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera.

Sememangnya Nabi s.a.w. pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain.

Oleh itu maka hadis yang saudara persoal­kan, hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah s.a.w.

Wallah hu ‘alam

Read more...

Saka...

>> Tuesday, February 2, 2010

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.

Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Saya (TG Dato` Haron Din) tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Atasilah saka adalah dengan melakukan amalan-amalan yang boleh memperkukuhkan jati diri muslim agar sentiasa berpegang kepada hukum-hukum Allah, membaca ayat-ayat Allah, khususnya pada surah-surah yang sabit keberkesanannya, di baca malam-malam hari di rumah. Seperti mengamalkan Surah al-Baqarah, Suratul Jin, Surah al-Fussilat, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah an-Nass dan zikir-zikir yang ma'thurat. Zikir-zikir ini boleh di dapati dalam berbagai versi percetakan.

Yang pentingnya hati kita mesti sentiasa mengingati Allah. Sama ada zikir dengan lidah, hati atau dengan akal yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah S.W.T, semuanya boleh digunakan sebagai cara-cara untuk mengatasi saka

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP