Sakit Mental..Adakah Ini Juga Kaitan Ada Dengan Makhluk Halus!?

>> Saturday, March 13, 2010

NGO diminta buat kajian tangani masalah pesakit mental

JOHOR BAHRU 12 Mac - Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan kajian bagi menangani masalah yang ditimbulkan pesakit mental seperti yang berlaku di sebuah tadika di Muar, kelmarin.

Raja Zarith Sofiah berkata, kejadian murid di tadika itu yang diketuk oleh lelaki kurang siuman tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini.

"Masalah yang dihadapi pesakit mental adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak termasuk NGO, keluarga dan kerajaan perlu bekerjasama bagi mengatasi masalah ini.

"Bantuan perlu diberikan kerana ada keluarga tidak mempunyai pendedahan mengenai penyakit itu dan panduan menjaga ahli yang mengalami masalah berkenaan," katanya.

Raja Zarith Sofiah berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Pada lawatan itu, Raja Zarith Sofiah sempat beramah mesra dengan tiga murid Tadika Sinario yang cedera di kepala akibat diketuk dengan tukul besi oleh seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman.

Dalam kejadian kelmarin, tiga murid Tadika Sinario di Muar, Nur Nadhirah Nabilah Mohd. Yusri, 6; Alex Tan Kar Eik, 6; dan Vincent Tee Hui Seng, 6, cedera di kepala akibat diketuk dengan tukul besi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman.

Dalam kejadian pukul 10 pagi di tadika itu di Jalan Abdul Rahman, Muar, pengetua tadika berkenaan, Voon Siew Kuin turut cedera di bahu kanan dan tangan kiri.

Lelaki yang masih bebas itu dikatakan memanjat pagar tadika sebelum memasuki sebuah kelas dan mencederakan murid terbabit.

Raja Sofiah menambah, pelbagai program juga boleh dijalankan di seluruh negara seperti seminar, pendedahan mengenai ubat-ubatan dan panduan mendidik pesakit.

"Peranan media juga penting bagi mendidik masyarakat dengan menyalurkan pelbagai informasi mengenai masalah penyakit mental," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm

0 comments:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP