Ilmu Perubatan Dari Mimpi

>> Monday, September 20, 2010



Bolehkah kita beramal dengan ilmu perubatan yang diperolehi daripada dalam mimpi?

Soalan

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seseorang yang nampaknya amat alim berjubah, berserban, bertasbih dan bersih cahaya mukanya, serta berbau wangi bila mendampinginya, dia mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubat orang yang sakit, dengan syarat-syarat berikut.

1. Saya diminta berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut.
2. Saya disuruh bersolat tahajjud di malam-malam saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam.
3. Saya diminta menjamu anak yatim seramai 40 orang.
4. Saya disuruh menyembelih kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga.
5. Saya berzikir selama seminggu tanpa henti, siang dan malam, selepas itu saya boleh mengubati orang.

Apakah pandangan Dato' tentang perkara ini, bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalan-amalan ini?


Jawapan

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan daripada mimpi ini berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang terdapat padanya sesuatu yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya berlaku hasil daripada kerja syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi, yang merupakan sedikit sahaja daripada kebolehan mereka. Jarang sangat yang berlaku dalam mimpi itu mewakili yang sah ataupun yang sebenar.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda menyatakan (mafhumnya), "Tidak tinggal daripada nubuwwah (kenabian) melainkan al-Mubashshirat. Sahabat bertanya apakah dia al-Mubashshirat itu wahai Rasulullah? Maka Nabi menjawab ia adalah mimpi-mimpi yang benar (ar-Rukya as-shadiqat)."



Mimpi-mimpi yang benar ini adalah suatu yang amat jarang berlaku. Kadang-kadangnya dilihat sebagai benar, tetapi jika diteliti sebenarnya ia tidak.

Oleh kerana manusia begitu mudah mempercayai mimpi, sedangkan mimpi manusia tidak seperti mimpi Anbiya atau al-Mursalin. Mimpi para Nabi dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi kita lebih banyak terdedah kepada berbagai penipuan iblis.

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta saudara melakukan semuanya perkara yang disyariatkan.

Tetapi, persoalannya, apakah anda tidak pernah mendengar sebelum daripada mimpi itu, ada sunat berpuasa, ada solat tahajud, ada suruhan memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim, ada suruhan menyembelih kambing membuat kenduri, ada suruhan berzikir kepada Allah S.W.T? Jika saudara pernah mendengarnnya, apakah anda melakukan perkara-perkara itu sebelum bermimpi? Kalau jawapannya tidak, bermakna saudara tidak percaya dengan pengetahuan yang disebut oleh manusia, daripada ulama muktabar dan daripada kitab-kitab yang secara terang-terangan menyuruh semua perkara itu?

Maka mengapa bila sudah ia hadir dalam mimpi, maka baru lah saudara hendak melakukannya. Soal saya, kenapa dilakukannya, jawapannya ia diperolehi di dalam mimpi. Maka, siapa yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu.

Kalaulah ditakdirkan bahawa orang yang ada mimpi itu akhirnya terbukti ia bukan insan biasa, bukan seorang alim tapi ia suatu penjelmaan makhluk halus atau qareen atau apa sahaja namanya, sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana mimpi. Bukan hendak mendapat pahala atau redha Allah, tetapi hendak menjadi seorang perawat yang hebat, bagi tujuan keduniaan

Oleh yang demikian, antara dua kemungkinan sama ada benar mimpi itu daripada orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah atau berkungkinan ianya suatu lakonan iblis, maka saudara dinasihati lebih baik jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana syaitan.

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah ia bukan kerana mimpi, lakukanlah kerana Allah sebagaimanya yang termaktub dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan berbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang sebutkan tadi.

Lupakan hal mimpi itu dan lakukan hal itu kerana Allah S.WT. Adapun ilmu pengetahuan secara umumnya, Islam meletakkan saluran untuk menyebarkan ilmu, disebut dalam al-Quran, firman Allah yang mafhumnya;

"Dan tidak Kami utuskan sebelum daripada kamu wahai Muhammad, melainkan Nabi daripada kalangan laki-laki, yang kami wahyukan kepada mereka semuanya, maka tanya lah ahli-ahli yang cukup ilmu jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahli, ayat 43)


Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah 'alhaz zkri', ahli-ahli yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah S.WT iaitu ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah, kita mengambil ilmu daripada ulama yang muktabar.

Dalam konteks ini, sudah cukup ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan, sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah.

Jangan mengambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pastikan siapakah yang saudara temui dari mimpi itu. Wallauhua'lam.

http://www.darussyifa.org/SJ023.php

0 comments:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP