Bolehkah manusia menentukan seseorang itu akan masuk Syurga atau Neraka?
>> Friday, April 8, 2011
Soalan
1. Ada ajaran yang dibawa di kampung saya diikuti oleh beberapa pengikut, sekarang agak ramai, kebanyakannya dari luar. Saya diberitahu mereka mengikut pengajaran Tok Ayah (gelaran mereka), akan ditabalkan menjadi “Wali” oleh Tok Ayah dengan bayaran tertentu.
2. Bolehkah manusia walau setinggi mana darjat ketaqwaannya kepada Allah, menentukan seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga sekiranya mengikut tarikatnya dan berjanji akan menyelamatkan pengikutnya daripada azab neraka?
MUHAMAS ABU KASIM
Bagan Serai
Penjelasan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din
Jawapan 1
Memang sekali sekala kita mendengar istilah Tok Ayah, kadang-kadang Ayah, sepertimana Ayah Pin. Kadang-kadang disebut Abuya yang bermakna ayah saya.
Semuanya berlaku dalam masyarakat kita. Tetapi berkaitan dengan soalan saudara ini, ada pengajaran yang disampaikan dan ada pengikut. Sememangnya Islam berkembang di atas perintah Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud; “Sampaikanlah kepada manusia daripada saya walaupun dari satu ayat”.
Dakwah adalah salah satu daripada tugas-tugas penting untuk menyebarkan Islam yang sebenar kepada maysarakat.
Kerana masyarakat peka kepada ilmu dan ingin kepada kelebihan-kelebihan dimiliki oleh orang-orang yang berilmu. Maka masyarakat mencari Ustaz, Guru, Tok Ayah, Abuya dan lain-lain untuk mendapat bimbingan kearah mendekati Allah SWT.
Pengajaran yang disampaikan kepada masyarakat, ada yang diasaskan kepada ilmu yang tulen dan tidak menyeleweng, ilmu yang menyampaikan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ada ilmu yang tidak mungkin boleh disampaikan kepada orang, ialah ilmu untuk mengangkat seseorang untuk menjadi wali. Itu bukan kerja manusia, itu kerja Allah yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman kepada berbagai peringkat.
Apabila ada Tok Ayah hendak menabalkan atau melantik seseorang menjadi wali, maka ianya mungkin dimaksudkan bukan wali Allah, tetapi itu wali Tok Ayah, yang membawa makna pembela atau yang dekat dengannya. Tetapi wali Allah, Allah sahaja yang menentukannya.
Melihat daripada cara yang berlaku, bila mana seseorang itu mengangkat orang lain menjadi wali Allah itu adalah sesuatu yang menyimpang daripada maksud wali Allah yang sebenar.
Jawapan 2
Ketinggian darjat ketakwaan kita kepada Allah SWT, adalah Allah sahaja yang mengetahui. Itu pun tidak dijamin seseorang itu masuk syurga melainkan dengan kemuliaan, kerahmatan dan kemurahan Allah jua.
Amalan-amalan kita kepada Allah, adalah untuk Allah dan kerana Allah. Allah sahajalah yang akan membalasnya.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda kepada anak baginda, Fatimah yang bermaksud; “Beramallah kamu wahai Fatimah, kelak di akhirat , ayah tidak dapat membelamu dihadapan Allah SWT.”
Maksud hadis ini, hatta Nabi yang mempunyai ‘assyfa’atul uzma’ (syafaat yang tertinggi) yang boleh menolong orang yang perlukan pertolongan pada hari Akhirat, Nabi menyuruh puterinya beramal dan bersungguh untuk mendapat keredaan Allah, kerana Nabi sendiri pun tidak dapat membela anaknya, jika amalan didunia tidak diterima oleh Allah SWT.
Oleh kerana itu, seseorang yang tinggi mana pun darjatnya, tidak boleh berjanji, hatta untuk dirinya sendiri, tidak pasti masuk syurga atau tidak. Hanya Allah menentukan.
Jika seseorang itu tidak boleh menjamin dirinya sendiri, bagaimana dia boleh menjamin diri orang lain masuk syurga dan terlepas dari api neraka?
Pada saya dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Pada pandangan hukum syarak tiada siapa yang boleh meramalkan perkara ghaib.