Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?

>> Saturday, December 5, 2009

Jawapan oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan.

NAUFAL MOHD AMIN
Jeli

Jawapan

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak.

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri.

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus.

Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah s.a.w, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, mengapakah gerak geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu.

Rasulullah menjelaskan kepada mereka, "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku."

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana.

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalan seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya.

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku.

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak.

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok.

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray.

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya.

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa.

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kepada mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah s.a.w.

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita.

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya.

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam.

Read more...

Langkah Biar Betul

>> Tuesday, December 1, 2009

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Kita panjatkan puji dan syukur kehadrat Allah SWT, memuji dan mengagungkanNya. Kita memohon petunjukNya dan mengharap keampunanNya juga meminta ke`afiatan dan kesihatan yang berterusan di dalam agama baik di dunia mahupun di akhirat.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar penghulu kita nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga dan keturunan baginda sekaliannya.

Pertamanya, syukur ke Hadrat Allah atas kurnianya maka kami dapat menubuhkan cawangan Darussyifa` dan menyiapkan blog ini, juga atas cadangan mereka yang menyokong dan menolong kami, Alhamdulillah.

Dunia sekarang maju dengan pelbagai ilmu dan teknologi, walaupun begitu tidak dinafikan ilmu serta kaedah perubatan yang tidak berasaskan syarak masih banyak diamalkan oleh masyarakat melayu.

Dengan adanya satu alternatif penubuhan ini, semoga sedikit sebanyak ia dapat mengembalikan kesucian amalan dan kaedah perubatan umat Islam khususnya di daerah bongsu Terengganu iaitu Setiu. Buat masa ini, kerja-kerja mengemas rumah yang akan dijadikan tempat rawatan sedang berjalan. InsyaAllah beberapa minggu lagi Darussyifa` Setiu akan beroperasi secara rasmi pada hari Sabtu bertempat di Pusat Rawatan Islam di hadapan Sek. Keb. Kg. Buloh, Bandar Permaisuri,Setiu, Terengganu.

Sabda Rasulullah S.A.W Mahfumnya : Seandainya salah seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan untuk menunaikan hajat keperluannya maka ianya (perbuatan ini) adalah lebih afdal daripada beriktikaf di masjid ku ini untuk tempoh dua bulan. ( Hadis diriwayatkan oleh al Hakim dan beliau menyatakan Isnad hadis ini sahih)

Semoga Allah SWT mengurniakan sepenuh keberkatan dan rahmat Nya kepada kita semua di dunia dan akhirat insyaAllah.
Ingatlah kepada Allah nescaya Allah akan mengingatimu.

Read more...

Prinsip Asas Rawatan Islam

10 Prinsip Asas Rawatan Islam
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)
1. Ada penyakit , ada ubat.
2. Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.
3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta'ala.
4. Manusia boleh berusaha, insya' Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta'ala akan sembuhkan.
5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.
6. Doa'-doa' dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.
7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa', telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat;
i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta'ala sahaja yang akan menyembuhkan.
8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)
9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.
10. Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.
http://darusyifa-banting.blogspot.com

Read more...

Asas Pengubatan Darussyifa'

Perkembangan ilmu pengetahuan akan terus maju menurut perkembangan daya fikir manusia. Di Malaysia, amalan merawat pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis, contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang digunakan oleh para anbiya' adalah merupakan satu bidang yang masih agak baru. Usaha untuk mengatur segala bentuk rawatan pesakit melalui cara ini dalam satu kaedah yang jelas, teratur dan dapat dimanfaatkan boleh dikatakan amat berkurangan biar pun memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai para pengamal perubatan Melayu tradisional yang menyumbangkan tenaga mereka dengan menggunakan kaedah ini.

Perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Memang terdapat beberapa rangkaian kata Melayu yang digunakan dalam kaedah ini, tetapi penggunaan rangkaian kata yang dapat difahami maknanya serta tidak mengandungi ungkapan kata yang menyalahi hukum yang diharamkan Allah di samping tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik. Semua yang diamalkan ini adalan tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Pada hakikatnya, usaha membongkar kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah untuk tujuan rawatan penyakit, adalah masih di peringkat awal. la memerlukan keikhlasan, minat, pengamatan yang serius serta ketabahan yang berterusan. Kejayaan usaha seumpama ini adalah bergantung kepada usaha-usaha yang dijelaskan diatas.

Pendedahan kandungan al-Quran, contoh-contoh sunnah Rasulullah dan doa-doa yang dijelaskan yang berkaitan dengan sumber wahyu dan sejarah Islam boleh memberi satu kesedaran yang agong kepada umat Islam untuk mengkagumi dan menghargai betapa besamya peranan Kitab Allah yang selama ini menjadi panduan dalam kehidupan seseorang. Kesedaran ini boleh menjadikan seseorang itu menyedari keesaan Allah. Semuanya ini adalah di antara jalan utama dalam tujuan memperkuatkan iman seseorang terhadap Allah s.w.t.

Pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat seperti yang dijelaskan di atas bukanlah merupakan satu amalan baru di kalangan umat Islam biarpun ramai orang yang masih meragui kesahihannya. Keraguan itu timbul ialah kerana kurangnya pemahaman terhadap sejarah ilmu perubatan dan al-Quran sendiri. Sebagai contoh, al-Quran mengulangi beberapa kali ungkapan yang membawa makna kesembuhan penyakit. Antaranya (Surah al-Isra':82).

Mahfumnya: Dan Kami turunkan di atas (isi) al-Quran, sesuatu yang boleh menyembuhkan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Di dalam al-Quran terdapat enam ayat yang menyentuh penggunaan perkataan yang membawa makna kesembuhan. Ayat-ayat itu dikenali sebagai " Ayat Ash-Syifa' ". (Sila rujuk al-Quran, At-Taubah:14, Yunus:57, Al-Nahl:69, Al-Israa':82, Asy-Syu'araa':80 dan Fussilat:44)

Sehubungan dengan ini pernah berlaku suatu kisah, di mana seorang Sahabat Nabi mengalami sejenis penyakit yang sudah puas diubati dengan berbagai cara perubatan, tetapi tidak juga sembuh. Pada suatu hari pesakit itu telah diziarahi oleh seorang temannya. Pesakit tersebut mengadu halnya yang telah puas berikhtiar tetapi masih belum disembuhkan Allah. Teman tersebut bertanya sama ada dia telah membaca " Ayat Ash-Syifa' " . Pesakit itu mengatakan belum, lalu teman tadi pun membaca " Ayat Ash-Syifa' " yang akhirnya dengan izin Allah s.w.t. ia pun sembuh.

Ulama-ulama terdahulu telah banyak membicarakan tentang rawatan secara ini dan mengumpulkannya dalam beberapa buah buku yang terkenal antaranya: At-Tibbu 'n-Nabawi, At-Tibb wa 'r-Rahmah, Zadu 'l Ma'ad fi Hadyi Khairi 'l-'Ibad dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan Alupathy (perubatan moden seperti di hospital) buat masa kini merupakan suatu pilihan utama manusia moden untuk ikhtiar menyembuhkan penyakit. Hospital-hospital dan klinik-klinik yang dilengkapkan dengan segala kemudahan dan kepakaran menjadikan tempat-tempat ini tumpuan utama. Akan tetapi suatu hal yang amat nyata bahawa tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan cara tersebut. Masih banyak penyakit yang masih belum dapat ditemui ubatnya oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan dengan cara moden, pesakit akan berusaha mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu peluang perlu disediakan agar pesakit-pesakit itu tidak putus asa dalam usaha mencari kesembuhan.

Kaedah pengubatan yang diusahakan di Darussyifa' ini tidak sekali-kali bermaksud untuk mengambil alih tugas yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital atau di klinik-klinik. la adalah merupakan satu rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar setelah pesakit-pesakit berusaha melalui cara perubatan tersebut, tetapi belum lagi disembuhkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya sesuatu penyakit terjadi, kita memang menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa, iaitu di hospital-hospital atau di klinik-klinik. Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berjaya, maka barulah pengubatan cara ini perlu dikhtiarkan.

Apa yang diusahakan di Darussyifa' ini adalah sebahagian kecil dari ilmu yang sangat luas yang telah lama diamalkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Hanya Allah s.w.t. sahaja yang maha sempurna lagi maha benar manakala yang salah dan silap itu adalah dari insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah kita memohon rahmat dan berkat semoga Allah sentiasa mengabulkan usaha kita semua dan menjadikan amalan kita yang tidak seberapa ini sebagai amalan yang soleh.

Sekian.

Wassalam.

Salam hormat dari saya,

Dato' Dr. Haron Din
http://www.darussyifa.org/

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP