Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H

>> Wednesday, December 22, 2010

Berita dipetik dari Harakahdaily
Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor
Ismail Hashim



SHAH ALAM, 7 Dis: Dato' Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.


Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta melancarkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.


Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.


"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') yang terletak di Bangi.

Read more...

Lilit Benang Hitam pada budak adalah amalan syirik

>> Monday, November 15, 2010


MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak-­kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?

SHAMSIAH ABU BAKAR
Jerantut

Jawapan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat, Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya berten­tangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud: “Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang meng­gantung tangkal (Damimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajat­nya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ): Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem­percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua­-tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya): “Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.”

Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.

Waalahu a’lam.

Read more...

Sambutan Eidulfitri 2010

>> Saturday, September 25, 2010

Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T. kami berjaya mengadakan jamuan ringkas sempena Eidulfitri 2010 di klinik Darussyifa' Setiu. Majlis bermula jam 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari..


Sebahagian pengunjung sedang menjamu selera


Pengerusi Ust Hj. Hasan Karim sedang mendaftarkan maklumat pesakit


Sebahagian pesakit yang hadir

Read more...

Ilmu Perubatan Dari Mimpi

>> Monday, September 20, 2010



Bolehkah kita beramal dengan ilmu perubatan yang diperolehi daripada dalam mimpi?

Soalan

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seseorang yang nampaknya amat alim berjubah, berserban, bertasbih dan bersih cahaya mukanya, serta berbau wangi bila mendampinginya, dia mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubat orang yang sakit, dengan syarat-syarat berikut.

1. Saya diminta berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut.
2. Saya disuruh bersolat tahajjud di malam-malam saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam.
3. Saya diminta menjamu anak yatim seramai 40 orang.
4. Saya disuruh menyembelih kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga.
5. Saya berzikir selama seminggu tanpa henti, siang dan malam, selepas itu saya boleh mengubati orang.

Apakah pandangan Dato' tentang perkara ini, bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalan-amalan ini?


Jawapan

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan daripada mimpi ini berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang terdapat padanya sesuatu yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya berlaku hasil daripada kerja syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi, yang merupakan sedikit sahaja daripada kebolehan mereka. Jarang sangat yang berlaku dalam mimpi itu mewakili yang sah ataupun yang sebenar.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadis baginda menyatakan (mafhumnya), "Tidak tinggal daripada nubuwwah (kenabian) melainkan al-Mubashshirat. Sahabat bertanya apakah dia al-Mubashshirat itu wahai Rasulullah? Maka Nabi menjawab ia adalah mimpi-mimpi yang benar (ar-Rukya as-shadiqat)."



Mimpi-mimpi yang benar ini adalah suatu yang amat jarang berlaku. Kadang-kadangnya dilihat sebagai benar, tetapi jika diteliti sebenarnya ia tidak.

Oleh kerana manusia begitu mudah mempercayai mimpi, sedangkan mimpi manusia tidak seperti mimpi Anbiya atau al-Mursalin. Mimpi para Nabi dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi kita lebih banyak terdedah kepada berbagai penipuan iblis.

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta saudara melakukan semuanya perkara yang disyariatkan.

Tetapi, persoalannya, apakah anda tidak pernah mendengar sebelum daripada mimpi itu, ada sunat berpuasa, ada solat tahajud, ada suruhan memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim, ada suruhan menyembelih kambing membuat kenduri, ada suruhan berzikir kepada Allah S.W.T? Jika saudara pernah mendengarnnya, apakah anda melakukan perkara-perkara itu sebelum bermimpi? Kalau jawapannya tidak, bermakna saudara tidak percaya dengan pengetahuan yang disebut oleh manusia, daripada ulama muktabar dan daripada kitab-kitab yang secara terang-terangan menyuruh semua perkara itu?

Maka mengapa bila sudah ia hadir dalam mimpi, maka baru lah saudara hendak melakukannya. Soal saya, kenapa dilakukannya, jawapannya ia diperolehi di dalam mimpi. Maka, siapa yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu.

Kalaulah ditakdirkan bahawa orang yang ada mimpi itu akhirnya terbukti ia bukan insan biasa, bukan seorang alim tapi ia suatu penjelmaan makhluk halus atau qareen atau apa sahaja namanya, sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana mimpi. Bukan hendak mendapat pahala atau redha Allah, tetapi hendak menjadi seorang perawat yang hebat, bagi tujuan keduniaan

Oleh yang demikian, antara dua kemungkinan sama ada benar mimpi itu daripada orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah atau berkungkinan ianya suatu lakonan iblis, maka saudara dinasihati lebih baik jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana syaitan.

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah ia bukan kerana mimpi, lakukanlah kerana Allah sebagaimanya yang termaktub dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan berbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang sebutkan tadi.

Lupakan hal mimpi itu dan lakukan hal itu kerana Allah S.WT. Adapun ilmu pengetahuan secara umumnya, Islam meletakkan saluran untuk menyebarkan ilmu, disebut dalam al-Quran, firman Allah yang mafhumnya;

"Dan tidak Kami utuskan sebelum daripada kamu wahai Muhammad, melainkan Nabi daripada kalangan laki-laki, yang kami wahyukan kepada mereka semuanya, maka tanya lah ahli-ahli yang cukup ilmu jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahli, ayat 43)


Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah 'alhaz zkri', ahli-ahli yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah S.WT iaitu ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah, kita mengambil ilmu daripada ulama yang muktabar.

Dalam konteks ini, sudah cukup ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan, sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah.

Jangan mengambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pastikan siapakah yang saudara temui dari mimpi itu. Wallauhua'lam.

http://www.darussyifa.org/SJ023.php

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP