Istilah Makhluk Halus

>> Monday, January 25, 2010

Bercakap pasal makhluk halus, ramai-ramai tertanya-tanya dan amat ingin tahu mengenai makhluk berkenaan.

Apa itu makhluk halus?
Suatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.

Banyak nama yang diberikan kepada makhluk halus di antaranya:

Hantu, jembalang, toyol, bunian, pontianak, langsuir, pelesit dan sebagainya. Semua istilah berikut terkenal dalam budaya masyarakat Melayu

Al jin, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit, qarin, ummu sibyan, khanzab, aamir, `ammar, alwahan, mukhannas, mukhannathuun. Istilah tersebut yang ditemui berdasarkan al-Quran dan Hadis. Ia merujuk kepada kewujudan makhluk halus atau roh-roh jahat yang menggangu manusia dengan perlbagai cara.

Kesimpulannya, makhluk halus memang wujud dan wajib dipercayai. Cuma, yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja. Kesemuanya adalah makhluk yang sama.

Read more...

Daun Kering & Pokok Ciku-Suatu Kisah

>> Wednesday, January 20, 2010

Bacaan selawat tiba-tiba berkumandang dari telepon bimbit Azman, tersentak sebentar Azman dari lamunan. Dia mencapai telepon tersebut, terpapar nama Ustaz Saiful di skrin tersebut. Dalam hatinya oh! Ustaz Saiful yang telepon. Dia menjawab panggilan tersebut dengan terus melafazkan ucapan salam kepada Ustaz Saiful.

“Azman, enta kerja tak hari Sabtu ini” Ustaz Saiful bertanya.

“Tidak, kenapa Ustaz? kata Azman.

“Ana bercadang nak ke Baling Kedah ada jemputan Kahwin. Ana mungkin pergi seorang sahaja, kebetulan kereta ana ada masalah untuk jalan jauh”

“Ana nak mintak tolong enta temankan, kalau boleh naik kereta enta, ana tanggung minyak dan tol, boleh ke?”

“Insya’Allah, tak ada masalah Ustaz” jawab Azman dengan gembira.

Azman bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah Bangunan 15 tingkat di Bangi, dia bertugas sebagai ketua pengawal keselamatan disitu. Hampir lima belas tahun dia telah bekerja disitu iaitu sejak dia berumur 23 tahun.

Pada pagi Sabtu itu Azman dan Ustaz Saiful telah bertolak dari Bangi kira-kira pukul 8 pagi menuju ke Baling. Mereka sampai di Kupang, Baling hampir dengan waktu Zohor. Selepas solat Zohor dan Asar Jamak Taqdim di Masjid Kupang, mereka terus ke tempat kenduri.

Ustaz Saiful memeluk erat sahabat lamanya Ustaz Umar yang agak lama tak bertemu hampir dua tahun. “Enta datang seorang sahaja ke, keluarga tak ikut sekali? Tanya Ustaz Umar.

“Anak ana yang tua nak ambil SPM dan yang nombor tiga nak ambil UPSR, mereka ada kelas tambahan hari ini” Ustaz Saiful menerangkan.

“Ana datang dengan Sahabat baik ana ini, Ustaz Azman” Ustaz Saiful memperkenalkan Azman.

“Saya bukan Ustaz, panggil Azman sahaja” Sambil tersenyum, Azman cuba merendahkan diri dihadapan Ustaz Umar.

Ustaz Saiful dan Ustaz Umar bersahabat sejak perkenalan mereka ketika menuntut di Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah.

Hampir sejam juga mereka di rumah Ustaz Umar.

“Terlanjur kita dah sampai Baling ni mari kita singgah di Kulim sekejap, ana nak berjumpa dengan Sahabat ana di Kampung Kelang Lama, boleh ke Azman?” kata Ustaz Saiful kepada Azman.

“Ok, ustaz! No problem” jawab Azman dengan gembira.

Ketika memandu menuju ke Kulim, mereka telah tersesat jalan, lalu mereka berhenti dihadapan sebuah Stesen Telekom. Ustaz Saiful pergi ke pondok pengawal bertanyakan jalan yang betul ke Kulim. Ketika Ustaz Saiful sedang bercakap dengan Pengawal Keselamatan tersebut, Azman teringat ketika dia mula-mula berjumpa dengan Ustaz Saiful.

Kira-kira tujuh tahun yang lalu, jiran sebelah rumah Azman, Hisham menyerahkan borang permohonan untuk belajar di Darussyifa’. Bila terima borang tersebut, Azman berkata kepada Hisham “Saya tak beranilah nak belajar di Darussyifa’, Quran pun aku baca sangkut-sangkut”.

“Inilah peluang kita nak tingkatkan diri kita, sekurang-kurangnya kita boleh menghadiri kelas Tajwid untuk perbaiki bacaan al-Quran kita” kata Hisham kepada Azman.

“Beginilah Azman, engkau lakukanlah solat sunat istikharah, mohon ilham dari Allah supaya buat keputusan sama ada nak belajar atau tidak di Darussyifa’” tambah Hisham lagi.

“Aku bukan apa, anak kecil kau tu selalu sangat menangis tengah-tengah malam, kalau kau belajar ilmu pengubatan Islam, kau sendiri boleh rawat anak kau tu” Hisham menegaskan lagi.

“Ok lah Hisham aku cuba lakukan solat istikharah” kata Azman.

Selang seminggu, Azman menyerahkan borang permohonan tersebut kepada Hisham. “Insya’Allah aku cuba belajar di Darussyifa’, selepas solat istikharah, hati aku rasa berkobar-kobar nak belajar pulak” terang Azman kepada Hisham.

“Alhamdulillah” kata Hisham.

Azman telah menghadirkan diri di sessi temuduga untuk kemasukan pelajar baru. Salah satu soalan yang ditanya, calon disuruh memperdengarkan bacaan Surah al-Fatihah kepada panel penemuduga.

“Bacaan Surah al-Fatihah suadara sangat tidak memuaskan, saudara kena perbaikinya. Bacaan al-Fatihah adalah bacaan asas yang menjadi rukun solat. Kalau al-Fatihah tak betul, solat akan jadi tidak sah” Tegas Ustaz Rashid kepada Azman dalam sessi temuduga.

Selesai sessi temuduga, Azman rasa agak kecewa, ini kerana dia yakin dia tidak diterima belajar di Darussyifa’.

Selang sebulan. Petang itu telepon Azman berdering. Salam diberi diikuti dengan pertanyaan “Boleh saya cakap denga En Azman”.

“Ya saya Azman bercakap, siapa ni?” tanya Azman

“Saya Jufry dari Darussyifa’, tahniah! En. Azman telah diterima untuk belajar di Darussyifa’. Sila hadirkan pada hari pendaftaran Ahad yang akan datang ini”

Hati Azman sungguh gembira tidak terkira. Azman memasangkan tekad untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Malam itu dia lakukan solat hajat memohon Allah membantunya agar dia dapat meningkatkan dirinya dalam ‘ilmu agama dan al-quran.

Dia tidak mahu, ketika belajar di Darussyifa’ nanti merasa rendah diri kerana tidak boleh membaca al-Quran dengan baik.

Pada keesokan harinya, ketika sedang bertugas di balai pengawal, seorang lelaki berkupiah putih datang menghampirinya.

“Assalammu’alaikum, boleh saya tanya Surau di tingkat berapa?

“Wa’alaikummussalam, di tingkat tiga encik. Encik nak berjumpa dengan siapa? Tanya Azman.

“Saya nak menyampaikan Kuliah Agama” Ustaz itu menjawab sambil tersenyum.

“Oh! Ustaz rupanya, boleh saya tahu nama Ustaz, bukan apa saya nak rekodkan dalam buku ini sahaja” Azman menambah.

“Nama saya Saiful bin Kamaruddin, panggil saya Ustaz Saiful sahaja” jawab Ustaz Saiful sambil tersenyum.

Itulah pertama kali Azman bertemu dengan Ustaz Saiful. Tujuh tahun telah berlalu, terasa sekejap sungguh, Azman dan Ustaz Saiful telah menjadi sahabat baik.

Sejak berkawan dengan Ustaz Saiful, Azman telah banyak berubah. Sehinggakan pada suatu subuh pagi Jumaat di sebuah surau di kawasan tempat dia tinggal imam tidak muncul-muncul untuk mengimamkan solat Subuh.

Masing-masing tolak menolak tidak mahu jadi imam kerana tidak hafal surah as-Sajadah. Salah seorang jamaah tiba-tiba menolak Azman supaya kehadapan untuk menjadi imam.

Azman terus mengimamkan solat Subuh itu. Selepas al-Fatihah di rakaat pertama dia membaca Surah as-Sajadah dan di rakaat kedua Surah al-Insaan.

Selesai solat subuh, jamaah surah ucap tahniah kepadanya.

“Bila engkau belajar Quran ini, sedap betul kau baca tadi, Alhamdulillah, kau boleh jadi imam ni” kata salah seorang jamaah.

Azman teringat ketika mula-mula berpindah di taman itu sepuluh tahun yang lalu, dia ditegur banyak kali dalam majlis tadarus al-Quran di bulan Ramadhan kerana banyak yang salah dari yang betul dalam bacaan al-Quran yang dibacanya. Sejak itu dia terus malu nak ikut serta majlis tadarus.

Mereka sampai di Kampung Kelang Lama, Kulim agak lewat kerana tersesat jalan. Mereka singgah di Sebuah Masjid berhampiran yang berhampiran. Jamaah Masjid baharu sahaja selesai solat Asar berjamaah. Ada sebahagian jamaah masih bersembang di kaki lima Masjid.

Ustaz Saiful memberi salam dan bertanya kepada salah seorang jamaah di Masjid tersebut.

“Assalammu’alaikum pakcik, boleh saya bertanya, Pakcik kenal tak dengan Ustaz Mohd Nur Ismail, kalau tak silap saya dia tinggal di sekitar kampung ini”

“Oo! Ustaz Mohd Nor tak tinggal disini lagi dia dah pindah ke Gurun” kata Pakcik tersebut dengan menampakkan gigi hadapannya yang tinggal sebatang.

“Terima kasih pakcik” kata Ustaz Saiful.

Ustaz Saiful menampakkan raut keletihan di wajahnya kerana tidak sampai hajat nak berjumpa kawan lama.

Mereka berdua mengambil wuduk kemudian lakukan solat Tahiyatul Masjid. Setelah itu mereka duduk di tangga hadapan masjid untuk berehat sebentar. Mereka tidak lakukan solat Asar sebab telah melakukan Jamak Taqdim.

Tiba-tiba mereka berdua di tegur oleh seorang pakcik yang dalam lingkumgan umur 70 tahun.

“Assalammu’alaikum” kata pakcik itu

“Wa’alaikummussalam” jawab mereka berdua.

“Anak berdua ni dari mana, dari Kuala Lumpur ke?”

“Ya Pakcik, kami dari Bangi, macam mana pakcik tahu?” kata Azman.

“Oo, Pakcik tengok kereta tu macam kereta orang Kuala Lumpur? Pakcik itu menerangkan.

“Anak berdua ni orang Ustaz Haron Din ke” tanya Pakcik itu meneruskan perbualan.

“Saya Saiful dan ini Azman, Azman ni memang orang Ustaz Haron Din, saya belum lagi” Ustaz Saiful menambah.

“Azman memang anak murid Ustaz Haron Din, macam mana pakcik tahu Darussyifa’ ” tambah Ustaz Saiful.

“Oo! Pakcik nampak di belakang kereta tu ada tulis Darussyifa” Pakcik itu menambah sambil menunjukkan ke arah kereta Azman.

Azman memang melekatkan stiker Darussyifa’ di keretanya sejak stiker itu dikeluarkan.

“Pakcik berhajat untuk menjemput anak berdua ke rumah Pakcik untuk minum petang. Boleh kita sambung berbual, kalau tak keberatan. Rumah Pakcik dekat situ sahaja” Kata pakcik itu dengan tersenyum sambil menunjukkan ke arah rumahnya.

Pakcik itu mengajak dengan bersungguh-sungguh akhirnya mereka tidak dapat menolaknya.

“Terima kasih, kerana sudi terima jemputan Pakcik” kata pakcik itu dengan gembira.

“Boleh saya tahu nama Pakcik” Azman bertanya.

“Oh! Terlupa pulak pakcik nak perkenalkan diri, nama pakcik, Haji Hussin, orang kampung panggil Pak Husin sahaja, pakcik ni siak di Masjid ini” Pak Hussin menerangkan.

Kami berjalan ke rumah Pak Husin bersama-sama. Kawasan sekitar sungguh tenang dan damai diikuti dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup pokok-pokok getah di sekeliling rumah Pak Husin.

Kelihatan daun-daun kering pokok getah yang berguguran melekat di sarang labah-labah berayun-ayun di tiup angin.

Tidak jauh di halaman rumah itu terdapat pokok ciku yang sedang lebat buahnya dan pokok-pokok bunga yang berwarna-warni menghiasi laman rumah tersebut.

Rumah Pak Husin ialah rumah Kampung yang masih unik dengan keaslian kampungnya. Bahagian hadapan sepenuhnya kayu dan didirikan diatas tiang-tiang kayu yang tinggi melepasi kepala. Bahagian belakang dan dapurnya adalah separuh batu dan separuh kayu.

Ustaz Saiful dan Azman di jemput naik kerumah. Pak Husin pergi kedapur dan menyuruh isterinya menyediakan minuman.

Pak Husin meneruskan perbualan “Pakcik sebenarnya dah lama sangat nak ke Bangi nak jumpa Ustaz Haron Din. Ada orang kata di Darussyifa’ macam-macam penyakit boleh sembuh”

“Di Darussyifa’ kami hanya berikhtiar sahaja dengan kaedah yang dibenarkan oleh Syarak. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit” Azman menambah.

“ Ada juga anak pakcik yang tinggal di Kuala Lumpur tu nak bawak ke Darussyifa’, tapi asyik tangguh sahaja, ada maca-macam hal pulak. Orang kata susah juga ya nak jumpa Ustaz Haron Din” sambung Pak Husin.

“Memang agak sukar nak berjumpa dengan Ustaz Haron Din. Dia hanya merawat pada pagi Selasa dari jam 7:30 pagi hingga 1:00 tengahari.” Azman menambah

“Kalau nak dapat rawatan terus dengan dia, kita perlu mendapatkan nombor giliran 1 hingga 200, sebab itu ada yang sanggup datang beratur di Darussyifa’ sebelum waktu subuh lagi untuk dapatkan nombor tersebut” Azman menjelaskan.

“Sebenarnya, boleh saya tahu penyakit apa yang pakcik hidapi? Azman bertanya.

“Oh! Sebenarnya bukan pakcik, anak pakcik yang sakit. Pakcik mempunyai tujuh orang anak. Yang sakit anak pakcik yang bungsu. Umurnya baru 25 tahun.” Pak Husin menjelaskan dengan agak sayu.

“Siapa namanya pakcik” Azman bertanya lagi

“Hafiz, sebelum sakit dulu dia belajar di Maktab Mahmud Alor Setar. Sejak akhir-akhir ini penyakit dia makin teruk. Selalu sangat mengigil dan meronta-ronta” Pak Husin menambah.

Mereka berbual panjang hingga jam hampir menunjukkan pukul 6 petang. Pak Husin menceritakan tentang anak-anak mereka yang berjaya. Anak lelaki sulungnya bekerja sebagai Doktor di Hospital HUKM menakala anak keduanya perempuan bekerja sebagai Guru di Alor Setar. Anak yang ketiga lelaki bekerja sebagai Pegawai KWSP di Sungai Petani. Anak-anak yang lain bekerja sendiri di Terengganu dan juga di Pulau Pinang. Semuanya dah berkahwin kecuali yang ke 6 dan yang bungsu.

“Anak perempuan pakcik yang nombor enam, Hafizahlah yang banyak membantu menguruskan Hafiz” kata Pak Husin

“Pakcik dah bercerita panjang, tetapi pakcik tak cerita lagi, apa penyakit Hafiz” Ustaz Saiful mencelah.

“Terlupa pulak pakcik nak bagi tahu, mula-mula dulu Sawan tapi orang kata Hafiz kena penyakit Gila Babi, dah enam tahun, pakcik dah berubat merata, tapi Allah belum izinkan untuk sembuh” Pak Husin menerangkan dengan sayu.

Seketika kemudian isteri Pak Husin datang duduk di sebelahnya. “Ustaz! kalau Ustaz boleh ubat, ubatlah anak makcik ini” kata isteri Pak Husin dengan nada mengharap.

“Boleh kami tengok Hafiz, pakcik” Azman bertanya.

“Boleh, mari pakcik bawa ke biliknya di bawah sana” Pak Husin dan isterinya bangun dan membawa kami ke bilik hafiz yang terletak di bahagian dapur rumahnya. Ketika itu kelihatan Hafiz sedang tidur.

Setelah Azman memerhatikan keadaan Hafiz dia pun berkata “Saya rasa ubat penyakit ini ada di depan rumah pakcik”

“Mengikut kata Guru saya, Allah menurunkan penyakit dan penawar secara berpasangan. Biasanya penawar kepada sesuatu penyakit itu sangat hampir dengan tempat terjadi sesuatu penyakit itu” Azman menambah.

Dengan agak terperanjat Pak Husin terus berkata “Ya ke? kalau begitu saya merayu kepada Ustaz tolonglah usahakan”

Azman terus menerangkan kepada Pak Husin iaitu untuk mengubati penyakit Gila Babi ini ialah dengan menggunakan daun kering yang gugur melekat di sarang labah-labah. Azman memberitahu Pak Husin, dia nampak banyak daun kering yang melekat di sarang labah-labah berhampiran dengan rumah Pak Husin.

Azman bersama dengan Ustaz Saiful dan Pak Husin pergi mengambil daun kering tersebut. Sebelum mengambil daun tersebut, Azman menerangkan cara-cara nak mengambil daun kering tersebut sebagaimana pesan Ustaz Haron Din kepadanya seperti berikut;

a. Sebelum mengambil daun tersebut memberi salam kepada nabi Ilyas dahulu
b .Kemudian membaca Surah al-Fatihah dan Selawat ke atas Nabi
c. Jangan tindih bayang iaitu ketika mengambil daun tersebut jangan bayang-bayang kita terkena daun tersebut.
d. Ambil daun kering yang terlekat pada sarang labah-labah tersebut dengan menggunakan mulut kemudian selepas ia terpisah dari sarang labah-labah pegang dengan tangan untuk disimpan
e. Ambil sekurang-kurangnya tujuh helai.

Setelah daun tersebut di ambil sebanyak tujuh helai, Azman meminta Pak Husin menyediakan sebaldi air biasa yang di ambil dari perigi. Kebetulan di kawasan tersebut air perigi adalah air mineral.

Kemudian Hafiz di bawa keluar dari biliknya dan dibaringkan di hadapan pintu iaitu kakinya menghadap pintu yang menghala keluar rumah.

Azman meneruskan membaca beberapa kombinasi ayat berikut iaitu;

1.Surah al-Fatihah
2.Selawat Tafrijiyah
3.Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24
4.Doa Hindar Syaitan
5.Dan beberapa doa lagi

Setelah habis doa di baca, Azman tiup pada Daun Kering dan air dalam baldi tersebut. Azman ambil sehelai daun kering tersebut dan memamahnya dengan mulut bersama sedikit air yang telah didoa. Setelah itu dia menyembur kearah Hafiz dari kepala sampai ke kaki dengan mengisyarat membuang ke luar kearah pintu. Azman mengulanginya tujuh kali dengan tujuh daun yang berasingan.

Setelah itu Hafiz diberi minum dengan air tersebut dan sebahagian air itu di buat mandi. Azman berpesan kepada Pak Husin bahagikan air itu kepada tiga bahagian untuk dibuat mandi tiga kali petang. Mandi sebelum masuk waktu maghrib. Air tersebut adalah untuk membuat bilasan terakhir.

Pada petang itu ibunya memandikan Hafiz dibantu oleh kakaknya Hafizah, akhir sekali dia di bilas dengan air yang telah dibacakan doa itu.

Setelah semuanya selesai, waktu telah hampir masuk maghrib. Azman dan Ustaz Saiful meminta diri untuk beredar melakukan solat berjamaah Maghrib di Masjid. Selepas solat maghrib, Pak Husin mempelawa mereka berdua untuk makan malam.

Selepas makan malam di rumah Pak Hussin. Azman berpesan kepada Pak Husin supaya membuang pokok ciku yang di tanam di hadapan rumahnya. Ini adalah pesanan Ustaz Haron Din, kerana mengikut pengalaman beliau dipokok ciku makhluk halus suka singgah dan bermain. Gila Babi adalah sejenis penyakit gangguan spiritual yang ada kaitan dengan makhluk halus (syaitan).

Membuang pokok ciku itu adalah satu ikhtiar untuk mengatasi masalah gangguan makhluk halus tersebut.

Sebelum bertolak balik, Pak Husin memberikan sedikit wang untuk isi minyak dan tol, sebaliknya Azman menolak kata Azman “Kami dari Darussyifa’ merawat secara percuma Pakcik, Biarlah Allah SWT yang membalas amal perbuatan kami.” Pak Husin mendesak nak bagi juga, akhirnya tidak mahu kecilkan hati Pak Husin, dia ambil duit tersebut (dalam hatinya berkata aku akan sedekahkan di masjid duit ini).

Dalam perjalanan pulang balik Ustaz Saiful berkata kepada Azman “Apa yang enta buat tadi sungguh bagus, sekurang-kurangnya ada ikhtiar yang boleh kita buat bila orang mintak tolong”

“Ana rasa ana nak belajar ilmu perubatan Islam ini dari Ustaz Haron Din” tambah Ustaz Saiful.

“Alhamdulillah, akhirnya terbuka juga hati Ustaz” kata Azman tersenyum

Mereka sampai di Bangi hampir jam 2:00 pagi.

Sebelum masuk tidur Azman melakukan Solat Taubat dan Solat hajat dua rakaat memohon keampunan dari Allah dan berdoa agar Hafiz di berikan kesembuhan oleh Allah SWT.

Doa yang paling mustajab ialah mendoakan saudara muslim kita yang lain tanpa dia mengetahui kita mendoakan untuknya seperti hadith rasulullah:

Mahfum Hadith:
Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim dengan tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama (Hadith Riwayat oleh Muslim)

Bersambung………………….Adakah Hafiz sembuh seperti sediakala……ikutilah sambungannya akan datang….Pak Hussin cemas Hafiz hilang dari biliknya pada waktu subuh….


Kisah dan jalan cerita ini tidak ada kaitan dengan orang yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Bagimanapun maklumat tentang rawatan Darussyifa dan pesanan Ustaz Haron Din dalan kisah ini adalah benar dan boleh di jadikan panduan dan pengetahuan.

http://www.darussyifa.org/SuatuKisah%28Siri-01%29.php

Read more...

Ayat Penggerak

>> Saturday, January 16, 2010

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGGERAK)

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;



Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;

1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Keberuntungan beramal dengan doa ini

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.
http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=50

Read more...

PENAFIAN DAN PENJELASAN

>> Friday, January 8, 2010

PENAFIAN DAN PENJELASAN

Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Jawatankuasa Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) tidak pernah membuat sebarang perjanjian dan kerjasama dengan Ustaz Mohd Tirmizi bin Zainal. Pihak Darussyifa’ juga tidak pernah melantik Ustaz Mohd Tirmizi untuk apa sahaja urusan bagi mewakili Darussyifa’.

Jika sekiranya Ustaz Mohd Tirmizi bin Zainal di dalam kuliahnya atau dalam kaedah rawatannya, mendakwa ianya dari Darussyifa’, maka pihak Jawatankuasa Darussyifa’ menafikannya. Ini kerana Ustaz Mohd Tirmizi belum lagi diijazahkan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din dengan Ilmu Pengubatan Islam.

Sebarang penjelasan tentang perkara ini boleh berhubung terus dengan Pengerusi Darussyifa’ Ustaz Haji Abdul Rahman bin Ahmad di 013-3808766

Read more...

Awas..!! Jampi Mantera Serapah

>> Thursday, January 7, 2010

Hukum Rawatan menggunakan jampi mantera dan serapah

Soalan

Ada bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau yang berhajat sesuatu, ditolongi dengan jampi mantera menggunakan bahasa Jawa. Saya orang Jawa asli yang tinggal di Pant Jawa, tetapi saya sendiri tidak faham apa dibaca dukun tersebut. Apakah pengubatan secara ini boleh diterima pakai dan tidak mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan syarak?

MOHAMMAD BIN JUSOH
Pant Jawa, Johor

Jawapan

Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga ter­tunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu meng­ikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia. Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, meng­harapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membe­bankan pesakit.

Amalan perubatan de­ngan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang dia­kui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang banyak.

Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab se­bagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-­kadang amat digalakkan.

Rasulullah s.a.w. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.

Adapun menjampi seseo­rang itu dengan menggu­nakan bahasa khusus seperti Jawa, atau bahasa Mendiling, Inggeris dan Sepanyol diha­ruskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui makna­nya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT. Jangan ada sebarang taf­siran yang boleh membawa syirik.

Oleh yang demikian jika lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya, jika seperti saudara seorang berketurunan Jawa tidak memahami jampi yang dibaca dalam bahasa Jawa. Tetapi mungkin seperti disebut orang bahawa Jawa ada dua bahasa, iaitu bahasa kasar dan bahasa halus. Biasanya bahasa Jawa halus jarang diketahui orang.

Saya sendiri sememang­nya tidak memahami bahasa Jawa sama ada kasar ataupun halus. Sekiranya anda tidak faham bahasa tersebut, tetapi orang yang membacanya faham dan makna bacaan itu tidak ada sebarang petanda menuju kepada syirik, maka dia boleh berbuat demikian.
Tetapi jika dukun itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, maka tidak boleh digunakan perubatan dengan bahasa tersebut.

Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhum­nya) : “Dan Kani turunkan
dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al­-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’ , ayat 82)

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Oleh itu maka ulama ber­sependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggu­nakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharus­kan, kadang-kadang digalak­kan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Qur­an dan as-Sunnah atau ruq­yah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh mengguna­kan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percang­gahan dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebe­narnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Oleh itu saya suka menje­laskan, jika sudah ternyata al-­Quranlah bacaan utama sebagai penawar terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik selain al-Quran, maka mengapakah kita tidak menggunakan bacaan ini sebagai rawatan?

Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT.

WalLah hu a’lam.

http://www.darussyifa.org/SJ043.php

Read more...

Program Mingguan

>> Saturday, January 2, 2010

PERTUBUHAN KEBAJIKAN DAN PENGUBATAN ISLAM (DARUSSYIFA`)
CAWANGAN SETIU
22100, BANDAR PERMAISURI, TERENGGANU
Tel: 019-9847179, 019-9841282

HALAQAH TAHFIZ ALQURAN

Darussyifa` adalah satu pertubuhan yang menyediakan rawatan perubatan islam yang bersumberkan al-Quran, as- Sunnah dan doa-doa mu`tabar. Di samping itu terdapat juga aktiviti dan program mingguan yang danjurkan untuk masyarakat islam.
Salah satu yang aktiviti yang akan dianjurkan ialah Halaqah Tahfiz. Program ini adalah kursus mingguan, diadakan selepas Isyak setiap malam Selasa dan setiap malam Sabtu,berjumlah 3 jam seminggu. Pelajar akan dibimbing menghafaz surah-surah pilihan secara Talaqqi dan Musyafahah. Dikendali dan dibimbing oleh guru-guru tahfiz dan perawat Darussyifa`. Bilangan pelajar 10-15 orang satu kumpulan.


SYARAT KELAYAKAN

1. Terbuka kepada lelaki yang berumur 13 tahun ke atas.
2. Berminat menghafaz al-Quran
3. Berkebolehan membaca al-Quran.
4. Berazam untuk istiqomah mengulangkaji hafalan di rumah.

SUKATAN PENGAJIAN

1. Surah Ad Dhuha hingga An Naas.
2. Surah An Naba` hingga Al Lail
3. Surah Yasiin
4. Surah As Sajdah
5. Surah Al Insaan
6. Surah Al Mulk
7. Surah Al Kahfi
8. Surah Al Waqiah
9. Surah Ad Dukhoon

Jika berminat sila datang ke Darussyifa` Setiu untuk pendaftaran di Jalan Ulu Seladang, berhampiran Sek. Keb. Kg. Buloh, pada setiap Sabtu jam 11.00 pagi hingga 12.00 Tengahari atau hubungi 0199428458/0136762744.

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP