Haruskah Amal Quran Utk Kuat Luar Biasa?

>> Sunday, April 25, 2010

. Saya mendapat tahu ada orang yang memperoleh kekuatan luar biasa seperti boleh berjalan di atas bara, boleh menarik bas, memecahkan bata serta kebolehan lain seperti membaca fikiran orang, mencari benda yang hilang melalui kekuatan minda dan mengesan sesuatu bala yang belum tiba. Mereka beroleh kekuatan itu dengan mengamalkan bacaan-bacaan al-Quran yang tertentu. Saya ingin tahu, apakah hukumnya mereka yang beramal dengan bacaan-bacaan al-Quran itu dengan tujuan ingin mendapat keistimewaan seumpama itu?

- Yang Musykil.


Jawapan : Kekuatan luar biasa ada kalanya boleh di perolehi dengan latihan dan usaha fizikal. Seperti menarik bas , berjalan atas bara dan memecahkan batu bata. Ia bergantung kepada latihan dan mungkin alatan-alatan luaran seperti krim pengurang kesan terbakar dan sebagainya.

Adapun isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti membaca fikiran orang, ramalan bala yang akan datang dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran b) Hadith Sohih dan Hasan c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Najm ayat 65 : “ Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT” . Malah Nabi juga bersabda : “Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tenung, lalu mempercayai ramalannya (ghaibnya) maka ia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW” . ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791 )

Justeru, dinasihatkan dengan tegas agar jangan dengan mudah mempercayai ramalan-ramalan ghaib dan akan datang oleh seseorang. Adapun isu menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mendapat kekuatan dan menembusi alam ghaib seperti membaca hati orang, pemikiran orang dan ramalan perkara akan datang.

Ia mungkin boleh diperolehi oleh orang-orang soleh dan bertaqwa, dan ia dinamakan “kasyyaf”, walaupun demikian, kasyyaf bukanlah satu kurnian yang boleh di kawal oleh seseorang itu pada masa-masa yang diinginnya, ia kerap kali berlaku secara spontan tanpa kawalan. Ia dikurniakan oleh Allah kepada mana-mana hambaNya yang soleh. Sebuah hadith menyebut : “ Berhati-hatilah dengan firasat orang mukmin (soleh) kerana mereka melihat dari cahaya Allah” ( Riwayat Tirmidzi dan At-Tabrani dan tirmizi berkata : Gharib ; Dhoif menurut Albani; Kasyful Khifa, Al-‘Ajlouni , 1/35 ; ) ; Khailfah Uhtamn ‘Affan r.a juga pernah diriwayatkan mendapatkan kasyyaf apabila menegur seorang lelaki dengan katanya mata kamu berzina. Demikian juga Umar Al-Khattab r.a ketika melihat keadaan tenteranya yang jauh dalam keadaan bahaya.

Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu dengan tujuan khas untuk mendapatkan keistimewaan, adalah harus selagi tidak bercanggah dengan tujuan yang dibenarkan syara’, malah ada juga yang digalakkan jika terdapat hadith yang menganjurkannya seperti membaca surah al-baqarah bagi menjauhkan diri dari Syaitan (dari hadis riwayat Muslim), membaca surah Al-Kahfi pada malam dan hari jumaat bagi mendapatkan cahaya hati dan menjauhkan diri dari Dajjal (dari hadith sohih riwayat Muslim, An-Nasaie, Al-Bayhaqi dan al-Hakim –rujuk al-Muntaqa, no 388, 1/250). Banyak lagi ayat-ayat yang dikhabarkan oleh Nabi tentang khasiatnya. Menggunakana ayat-ayat tertentu untuk terbang dan berjalan atas air tanpa tenggelam, tidaklah disebut oleh Nabi ayatnya. Wallahu a’lam. Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu untuk tujuan pelik dan jahat yang bercanggah dengan Al-Quran adalah sesat dan menyesatkan.

Tetapi perlu diingat, tujuan utama al-Quran diturunkan bukanlah untuk mencapai keistimewaan pelik di atas dunia atau untuk tujuan dunia, tetapi ia adalah untuk amalan dan panduan untuk hidup di dunia bagi mencapai keredhaan Allah di akhirat. Fakta ini telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai Quran.

http://www.zaharuddin.net/content/view/95/91/

Read more...

Doa Penawar daripada Hadis Nabi

>> Saturday, April 17, 2010

Sekadar berkongsi doa-doa yang dipetik daripada hadis-hadis nabi S.A.W sewaktu mengajar kelas tafsir surah Al-Falaq di Dar Al-Hikmah baru-baru ini.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Munir (Jilid 30, ms 478) :

"Kebanyakan para ulama mengharuskan minta pertolongan dengan membaca ayat-ayat ruqyah (pendinding/penawar) kerana baginda nabi S.A.W telah mengadu kepada malaikat Jibril tentang peristiwa baginda di sihir oleh orang yahudi lalu malaikat Jibril membacakan ayat-ayat ruqyah kepada nabi..."

Antara doa-doa penawar :

Doa Malaikat Jibril ke atas Rasulullah S.A.W setelah baginda mengadu kerana disihirkan oleh Labid bin Al-A’shom (yahudi) :


بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

Maksudnya : “Dengan nama Allah aku mendinding kamu daripada setiap sesuatu yang menyakiti kamu yang datang daripada setiap kejahatan jiwa atau mata orang yang hasad (dengki), semoga Allah menyembuhkan kamu dengan nama Allah aku mendinding kamu.”
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya)

2. Doa ketika menghadapi sakit atau demam :

بِسْمِ اللَّهِ الْكَبِيرِ أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ مِنْ شَرِّ كُلِّ عِرْقٍ نَعَّارٍ وَمِنْ شَرِّ حَرِّ النَّارِ

Maksudnya : “Dengan nama Allah Yang Maha Besar, Aku berrlindung daripada kejahatan setiap peluh yang meruap-ruap dan daripada kejahatan setiap kepanasan api.”
(Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dalam Sunannya)

3. Doa ketika menziarahi orang yang sakit :

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya : “Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Memiliki ‘Arasy yang Agung, agar menyembuhkan kamu (dibaca sebanyak 7 kali).”
(Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunannya)


اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya : “Ya Allah, tuhan sekalian manusia, penghilang segala kesusahan, sembuhkanlah kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan (penyakit) melainkan Engkau sahaja yang dapat mengubati dan menghilangkan sakit.”
(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya)

4. Doa mohon berlindung daripada gangguan syaitan dan sekutunya :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya : “Aku mohon berlindung dengan kalimah-kalimah Allah (Al-Quran atau asma’ Allah dan sifatNya) yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa yang boleh membunuh serta berlindung daripada setiap pandangan mata yang boleh mendatangkan kejahatan.”
(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

والله أعلم

___________________

Rujukan :

Tafsir Al-Munir : Dr. Wahbah Al-Zuhaili
Sahih Al-Bukhari
Sahih Muslim
Sunan Abi Daud
Sunan Al-Tirmizi
Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari
Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Sunan Al-Tirmizi

Disusun oleh :
Al-Faqir ilallahi Al-Ghaniy 18 Safar 1431 H

Mohd Juzaili Juhan Al-Azhariy
Khadim Al-‘Ilm wa Al-Sunnah,
Dar Al-Hikmah,
Kg. Guru Fasa 3,
Kangar, Perlis.

http://elmansyud.blogspot.com/

Read more...

Kenapa politik negara makin kalut?

>> Tuesday, April 13, 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:Kenapa politik negara makin kalut?

SOALAN: Politik Malaysia hari ini sudah sampai ke kemuncak kalut atau kelam kabut. Selepas satu isu, beralih kepada isu lain yang kebanyakannya membebankan fikiran rakyat jelata. Terbaru rakyat dikejutkan dengan isu rasuah berprofil tinggi, dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam kes liwat lagi dan pelbagai isu lain. Sebagai seorang Muslim saya amat keliru, soal dosa pahala tidak diperdulikan lagi, media dengan bebas mengasak dengan bangga mengaibkan hamba-hamba Allah yang tidak dipastikan kebenarannya, mengapa hal sebegini Dato'? - HASBULLAH MARZUKI, Bandar Baru Bangi

JAWAPAN: Memang benar kata anda itu, bahawa keadaan politik di Malaysia amat-amat kalut dan berserabut. Jika rakyat yang mengikutinya akan pening kepala, sudah tentu mereka yang terbabit dalam politik lebih merasai keserabutannya.
Terlalu banyak isu yang menyentuh negara, melibatkan kredibiliti pemerintah, sekali gus meletakkan rakyat keseluruhannya dalam keadaan kebingungan dan huru hara penghidupan.

Perihal ketidak puas hati rakyat terhadap kerajaan semakin jelas apabila kenaikan harga barang-barang keperluan seharian amat menekan, diikuti dengan indeks rasuah yang semakin melonjak, kes-kes rasuah berprofil tinggi terbongkar satu demi satu dan diikuti dengan fitnah yang tidak habis-habis.

Tuduhan liwat serta fitnah yang melampau ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu sandiwara.
Mengapa semuanya ini berlaku? Jawabnya mudah, ia adalah kerana manusia tidak takut dosa, tidak gerun dengan ancaman Allah SWT, tidak peduli apa yang hendak terjadi pada hari pembalasan.

Manusia kini seolah-olah tidak memperdulikan soal neraka dan syurga. Asalkan hati mereka mendapat kepuasan di dunia, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
Soal maruah, soal mengaibkan manusia dan apa sahaja yang seumpama dengannya tidak pernah menjadi perhitungan.

Inilah sebabnya hal-hal yang saya nyatakan di atas boleh berlaku.
Malah berbagai-bagai konspirasi boleh dilakukan tanpa segan silu kerana manusia telah dikuasai oleh tuntutan keduniaan yang melampau dan gila kuasa yang tidak terbatas.
Merujuk kepada fitnah liwat yang saudara bangkitkan dalam persoalan, pada saya, jika hukum-hukum Islam berjalan atau berfungsi, saya tidak fikir orang berani melontar fitnah sebegitu.
Ini kerana sekadar mendakwa seseorang itu melakukan liwat tanpa cukup bukti yang nyata dan kukuh, hukuman sebaliknya akan dijatuhkan ke atas si penuduh.
Orang yang membuat tuduhan tanpa cukup saksi, akan dijatuhkan hukuman qazaf mengikut suatu pendapat fuqaha.
Qazaf adalah menuduh zina, tanpa membawa empat orang saksi yang adil, yang benar-benar melihat perbuatan tersebut.
Jika penuduh gagal membuktikannya, maka si penuduh akan dikenakan hukuman, seperti firman Allah (mafhumnya):

"Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik pekertinya melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi, maka hendaklah disebat mereka dengan 80 kali sebatan (selepas itu); janganlah kamu menerima persaksian mereka buat selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 4)
Ayat ini tidak merujuk kepada wanita sahaja, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menuduh zina tanpa cukup bukti, maka akan dikenakan hukuman qazaf.
Timbul persoalan, bolehkah qazaf ini digunakan juga kepada sesiapa yang menuduh orang lain melakukan liwat? Atau didakwa dia diliwat, apakah termasuk dalam konteks ini?
Dalam mazhab as-Syafie, dengan merujuk kepada Kitab al-Muhazzab, juzuk dua, halaman 237, ada dinyatakan, maksudnya; "Sekiranya seseorang berkata (menuduh) kepada seorang lain, 'kamu adalah peliwat atau si fulan meliwat saya atau mengaku dirinya diliwat' (tanpa paksaan), maka itu adalah kazaf, sama dengan kazaf zina, wajib dikenakan hukuman qazaf."
Ini bererti bahawa yang menuduh liwat, sama dengan menuduh zina, wajib diproses mengikut hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Apabila hukum Islam tidak berfungsi dan diketepikan maka berleluasalah tuduhan-tuduhan yang seperti itu, kerana tidak ada sesuatu yang menjadi penghalang atau merasa gerun untuk melakukannya.
Alangkah rugi dan kecohnya masyarakat apabila tuduhan-tuduhan liar sebegini, masih menjadi mainan orang-orang tertentu menuduh orang-orang lain dengan pelbagai tuduhan.
Ingatlah, meskipun hukuman-hukuman had seperti yang disebutkan di atas, tidak dapat dilaksanakan buat seketika ini, akan tetapi insafilah bahawa hukuman Allah di akhirat nanti, pasti menunggu semua yang terlibat.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang mahsyur (mafhumnya): "Sesungguhnya hukuman dunia adalah lebih ringan daripada hukuman di akhirat."
Ini membawa maksud, bahawa segala kesalahan yang ada peruntukkannya dalam al-Quran atau as-Sunnah, jika dilaksanakan di dunia seperti kehendak Allah, maka ianya adalah paling ringan bagi orang yang terlibat menerimanya.

Jika mereka terlepas daripada menerimanya di dunia, maka di akhirat nanti mereka akan menerima hukuman yang lebih berat daripada Allah SWT. Wallahua'lam.

Read more...

Pengumuman...USTAZ MOKHTAR KASSAN DI DARUSSYIFA' SETIU

>> Saturday, April 3, 2010



PENGUMUMAN...

InsyaAllah pada sabtu hadapan 10 April 2010 Yang Berbahagia Ustaz Mokhtar Kassan(gambar di atas) akan datang dan merawat di Darussyifa' Setiu. Beliau merupakan perawat dari Darussyifa Bangi dan merupakan seorang yang sangat arif mengenai SANTAU. Kepada sesiapa berhajat bolehlah datang di Darussyifa' Setiu.

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP