Hanya Dengan Al Fatihah

>> Tuesday, December 29, 2009

Kisah Sahabat Nabi merawat dengan Surah Al-Fatihah

Dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia menjelaskan adanya satu
kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi musafir. Di tengah
perjalanan mereka telah singgah di sebuah perkampungan Badwi. Mereka telah
meminta makanan, tetapi penduduk kampung tersebut enggan memberinya.

Dengan takdir Allah s.w.t., tidak lama setelah itu, ketua kampung berkenaan telah
disengat binatang. Mereka telah berusaha untuk mengubatinya tetapi gagal.
Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar mereka meminta pertolongan
daripada kumpulan orang Islam yang singgah di kampung tadi. Mungkin mereka
boleh membuat sesuatu untuk merawat.

Mendengarkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka, sebahagian daripada
orang Islam tadi memberitahu bahawa mereka boleh menolongnya, tetapi oleh
kerana penduduk tersebut pernah menolak permintaan mereka sebelum itu,
mereka tidak akan menolongnya kecuali setelah berjanji memberi upah.

Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa ekor
kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang sedang
sakit, lalu dihembusnya dengan air ludah pada tempat yang sakit tadi sambil
membaca: "AlhamdulilLah". Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa doa yang
dibaca ialah Surah al-Fatihah lalu perawat tadi mengumpulkan air ludahnya dan
dihembuskan, menyebabkan pesakit beransur sembuh. Dalam satu riwayat lain,
dijelaskan bahawa upah yang diberi ialah tiga puluh ekor kambing.

Keterangan hadis ini memperlihatkan bahawa Surah al-Fatihah itu amat besar
fadilatnya, di antaranya ialah untuk merawat pesakit akibat terkena racun, seperti
disengat kala jengking, lipan dan sebagainya.

Dijelaskan juga dalam keterangan hadis ini bahawa perawat, dengan izin Allah
berjaya melakukan rawatan dengan membaca Ummu al-Qur'an (Surah al-Fatihah).
Kalau difikiri dari segi logiknya, terlalu sukar untuk menerima hakikat, bahawa
pesakit boleh sembuh hanya dengan bacaan Surah al-Fatihah dan sedikit
hembusan air ludah.

Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah, tetapi untuk
meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan seorang pesakit,
seperti sakit terkena gigit kala jengking ataupun lipan boleh sembuh, sering
dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima. Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa usaha seperti ini boleh berjaya. Tetapi, kesembuhan seperti ini
bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi
oleh sesuatu, apabila Ia menghendaki sesuatu, Ia berkata: jadilah maka jadilah(Surah Yasin: 82).

http://www.darussyifa.org/artikel/KonsepPerubatanIslam.PDF

Read more...

Tanda Tanya

>> Saturday, December 26, 2009

Assalamualaikum

Alhamdulillah, perjalanan rawatan di Klinik Darussyifa Setiu berjalan lancar.Kali ke 2 beroperasi pada 26/12/2009. Seramai 5 Orang perawat hadir.

Di sini kami sempat mencatat beberapa persoalan yang biasa ditanya oleh pesakit. Berbekalkan ilmu yang cetek ini, kami cuba menjawabnya:

1. Bila klinik dibuka? - Klinik di buka setiap hari Sabtu jam 8.30 pg hingga 12.00 tengahari.

2. Apa itu Darussyifa?- Itu perkataan bahasa arab. Maksudnya Klinik Rawatan (Rumah Kesembuhan). Ia diasaskan oleh Tuan Guru Dato` Dr Haron Din. Ditubuhkan secara rasmi pada 17 April 1988 di Bangi, diberi nama Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Darussyifa`.
Darussyifa' merupakan sebuah klinik rawatan yang terkenal di kalangan penduduk Bangi dan masyarakat luar terutamanya orang Islam, ia menjadi satu alternatif kepada orang ramai dalam usaha mencari kesembuhan penyakit selepas mendapatkan rawatan dari klinik dan hospital. Kebanyakan pesakit yang datang bukan hanya mengalami penyakit fizikal tetapi juga melibatkan penyakit rohani seperti terkena ganguan makhluk halus dan seumpamanya. Dengan kaedah yang diamalkan oleh Darussyifa' iaitu menggunakan ayat-ayat al-Qur'an, Hadith dan Doa-doa menambahkan lagi keyakinan orang ramai terhadapnya.

Kini Darussyifa telah berkembang ke seluruh negara Malaysia,hampir setiap negeri terdapat cawangan yang bernaung di bawah Darussyifa Bangi.. Di Brunai juga terdapat cawangan Darussyifa`.

3. Darussyifa boleh `tengok siapa buat`(ramalan/nujum)? - Cara sedemikian bukan kaedah kami. Bahkan ia boleh mengundang syirik dan amalan tidak diterima oleh Allah. Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Safiyyah, Nabi bersabda bermaksud : Sesiapa yang mendatangi seorang `arraf (tukang tilik) dan bertanya tentang sesuatu, maka tidak diterima amalannya selama 40 hari.

3. Berapa bayaran yang dikenakan?- Kami tidak mengenakan bayaran. Sekiranya ada yang bermurah hati untuk menyumbang demi kemajuan Darussyifa,sumbangan dialu-alukan.

4. Kaedah rawatan macamane?- Rawatan berasaskan ayat al Quran dan doa-doa terpilih. Bahan utama adalah air dan juga herba terpilih. Air yang digunakan telah dibacakan Surah Yaasiin, zikir dan doa oleh ahli-ahli Darussyifa Terengganu.

5. Adakah anda belajar dengan Dr Haron Din?- Ya, kami telah tamat belajar dan diijazahkan di Cawangan Terengganu, Kuala Ibai. Tenaga pengajar ialah Dr. Haron Din, perawat-perawat Bangi dan ahli-ahli Darussyifa yang berpengalaman.

6. Dah banyak tempat saya bawa anak saya pergi berubat, tetapi masih di tahap yang sama.!?- Perlu diketahui, secara asasnya konsep perubatan islam, setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya : Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat. Maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajalla..Riwayat Muslim. Diingatkan juga doa ibubapa untuk anaknya mudah dimakbulkan, dekatkan diri dengan Allah,banyakkan berdoa kepadaNya.

6. Prosuder rawatan ?- Untuk dapatkan rawatan, bawa air kosong(mineral) ke Klinik kami. Jika tiada air, boleh dapatkan di Klinik kami dengan harga RM 2.50 sebotol.

Kesembuhan Hanya Dari Allah Subhananu Wata`ala. Tiada Yang Boleh Menyembuhkan Melainkan Allah SWT.

Read more...

Majlis Pembukaan Klinik Perubatan Islam Darussyifa' Setiu 1 Muharam 1431H

>> Friday, December 18, 2009

Assalamualaikum...

Tanggal 1 Muharam 1431H dengan izin Allah kami telah berjaya mengadakan majlis pembukaan Pusat Rawatan Islam Darussyifa' cawangan Setiu Terengganu. Alhamdulillah syukur kerana Setiausaha Darussyifa' Bangi Ustaz Abdul Rahman bin Nawas sudi meluangkan masa utk merasmikan pembukaan pusat rawatan.

Walaupun kehadiran hari tidaklah begitu ramai namun kami bersyukur kerana inilah titik tolak untuk kami memberi khidmat kepada masyarakat, insyaAllah. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah S.W.T. insyaAllah

Ketibaan Ustaz Abdul Rahman Nawas Setiausaha Darussyifa' Bangi

Ketibaan tetamu dan pesakit

Ustaz Abdul Rahman sedang memberi ucapan

Ustaz Abd Rahman meniup air setelah membacakan doa

Menjamu Selera

Ustaz Abdul Rahman merawat seorang pesakit

Perawat Darussyifa' Kuala Terengganu sedang merawat

Read more...

Klinik Mula Buka Jumaat 1Muharam 1431H-18/12/2009

>> Sunday, December 13, 2009



Assalamualaikum...
Klinik Rawatan Islam Darussyifa Setiu akan beroperasi mulai Jumaat 18/12/2009, jam 3 petang hingga 5.30 petang.
Muslimin muslimat yang berhajat mendapatkan rawatan bolehlah mengunjungi klinik pada hari tersebut. Sempena pelancaran pembukaan tersebut, perawat yang ditugas untuk merawat ialah perawat dari Bangi dan dari Kuala Terengganu.
Di samping itu, muslimin muslimat boleh juga membeli buku perubatan Islam karangan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din.
Jangan lepaskan peluang ini..

Read more...

Benarkah Ruh orang yang telah meninggal dunia boleh menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumahnya atau kampung halamannya?

>> Thursday, December 10, 2009

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.

Jawapan oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."

Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.

Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut
tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.

Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam.

Read more...

Kunjungan Darussyifa' Kuala Terengganu

>> Tuesday, December 8, 2009

> 08 Disember 2009 : Hari ini kami dikunjunagi oleh Setiausaha dan 2 orang AJK Darussyifa' Kuala Terengganu bagi melihat bangunan serta memberi pandangan dan nasihat kepada bakal-bakal perawat Darussyifa' Setiu. Segala tunjuk ajar yang diberikan kami akan sematkan didada memandangkan mereka semua mempunyai banyak pengalaman yang berguna sebagai perawat darussyifa'.










Read more...

Rentetan Penubuhan Pusat Rawatan

>> Sunday, December 6, 2009

1. 5 November 2009 > Mesyuarat penubuhan jawatankuasa Darussyifa` Setiu

2. 1 Disember 2009 > Gotong-royong membersih rumah sewa yang akan dijadikan tempat rawatan di Kg. Buloh(Bandar Permaisuri), Setiu, Terengganu




Gambar dari luar pusat Rawatan. Alhamdulillah kerja-kerja gotong royong berjalan buat pertama kali dan banyak lagi yang perlu dilakukan supaya ianya sesuai untuk dijadikan pusat Rawatan. Kerja-kerja lain seperti mengecat, membersihkan kawasan persekitaran dan kelengkapan perlu dilakukan dengan segera. Moga kerja buat yang murni ini mendapat keberkatan dan kemudahan dariNya.InsyaAllah



GOTONG ROYONG KALI KEDUA PUSAT RAWATAN


> 06 Disember 2009:
Alhamdulillah gotong royong kali kedua telah berjaya dijalankan bermula jam 9.30 pagi..antara kerja yang dijalankan hari ini adalah membersihkan bahagian dalam, membentang tikar getah dilantai dan membersihkan bahagian luar pusat rawatan.

Kehadiran ahli hari ini seramai 7orang dan kami berterima kasih kepada seorang sahabat kami yang sudi datang membantu iaitu ust. Razali malangnya jurugambar terlupa mengambil gambar sepenuhnya akibat terlalu asyik bergotong royong.

Kami perlu menyiapkan secepat mungkin kerana Pembukaan Klinik Rawatan ini pada 19/12/2009 dan syukur kepada Allah S.W.T. kerana pembukaan klinik akan dihadiri oleh Perawat daripada Darussyifa' Bangi dan Darussyifa' Kuala Terengganu. Kepada semua pembaca dijemput HADIR!!

Read more...

Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?

>> Saturday, December 5, 2009

Jawapan oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan.

NAUFAL MOHD AMIN
Jeli

Jawapan

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak.

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri.

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus.

Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah s.a.w, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak.

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah s.a.w, mengapakah gerak geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu.

Rasulullah menjelaskan kepada mereka, "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku."

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana.

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalan seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya.

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku.

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak.

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok.

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray.

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya.

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa.

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kepada mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol.

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah s.a.w.

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita.

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya.

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam.

Read more...

Langkah Biar Betul

>> Tuesday, December 1, 2009

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Kita panjatkan puji dan syukur kehadrat Allah SWT, memuji dan mengagungkanNya. Kita memohon petunjukNya dan mengharap keampunanNya juga meminta ke`afiatan dan kesihatan yang berterusan di dalam agama baik di dunia mahupun di akhirat.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar penghulu kita nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga dan keturunan baginda sekaliannya.

Pertamanya, syukur ke Hadrat Allah atas kurnianya maka kami dapat menubuhkan cawangan Darussyifa` dan menyiapkan blog ini, juga atas cadangan mereka yang menyokong dan menolong kami, Alhamdulillah.

Dunia sekarang maju dengan pelbagai ilmu dan teknologi, walaupun begitu tidak dinafikan ilmu serta kaedah perubatan yang tidak berasaskan syarak masih banyak diamalkan oleh masyarakat melayu.

Dengan adanya satu alternatif penubuhan ini, semoga sedikit sebanyak ia dapat mengembalikan kesucian amalan dan kaedah perubatan umat Islam khususnya di daerah bongsu Terengganu iaitu Setiu. Buat masa ini, kerja-kerja mengemas rumah yang akan dijadikan tempat rawatan sedang berjalan. InsyaAllah beberapa minggu lagi Darussyifa` Setiu akan beroperasi secara rasmi pada hari Sabtu bertempat di Pusat Rawatan Islam di hadapan Sek. Keb. Kg. Buloh, Bandar Permaisuri,Setiu, Terengganu.

Sabda Rasulullah S.A.W Mahfumnya : Seandainya salah seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan untuk menunaikan hajat keperluannya maka ianya (perbuatan ini) adalah lebih afdal daripada beriktikaf di masjid ku ini untuk tempoh dua bulan. ( Hadis diriwayatkan oleh al Hakim dan beliau menyatakan Isnad hadis ini sahih)

Semoga Allah SWT mengurniakan sepenuh keberkatan dan rahmat Nya kepada kita semua di dunia dan akhirat insyaAllah.
Ingatlah kepada Allah nescaya Allah akan mengingatimu.

Read more...

Prinsip Asas Rawatan Islam

10 Prinsip Asas Rawatan Islam
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)
1. Ada penyakit , ada ubat.
2. Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.
3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta'ala.
4. Manusia boleh berusaha, insya' Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta'ala akan sembuhkan.
5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.
6. Doa'-doa' dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.
7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa', telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat;
i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta'ala sahaja yang akan menyembuhkan.
8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)
9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.
10. Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.
http://darusyifa-banting.blogspot.com

Read more...

Asas Pengubatan Darussyifa'

Perkembangan ilmu pengetahuan akan terus maju menurut perkembangan daya fikir manusia. Di Malaysia, amalan merawat pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis, contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang digunakan oleh para anbiya' adalah merupakan satu bidang yang masih agak baru. Usaha untuk mengatur segala bentuk rawatan pesakit melalui cara ini dalam satu kaedah yang jelas, teratur dan dapat dimanfaatkan boleh dikatakan amat berkurangan biar pun memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai para pengamal perubatan Melayu tradisional yang menyumbangkan tenaga mereka dengan menggunakan kaedah ini.

Perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Memang terdapat beberapa rangkaian kata Melayu yang digunakan dalam kaedah ini, tetapi penggunaan rangkaian kata yang dapat difahami maknanya serta tidak mengandungi ungkapan kata yang menyalahi hukum yang diharamkan Allah di samping tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik. Semua yang diamalkan ini adalan tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Pada hakikatnya, usaha membongkar kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah untuk tujuan rawatan penyakit, adalah masih di peringkat awal. la memerlukan keikhlasan, minat, pengamatan yang serius serta ketabahan yang berterusan. Kejayaan usaha seumpama ini adalah bergantung kepada usaha-usaha yang dijelaskan diatas.

Pendedahan kandungan al-Quran, contoh-contoh sunnah Rasulullah dan doa-doa yang dijelaskan yang berkaitan dengan sumber wahyu dan sejarah Islam boleh memberi satu kesedaran yang agong kepada umat Islam untuk mengkagumi dan menghargai betapa besamya peranan Kitab Allah yang selama ini menjadi panduan dalam kehidupan seseorang. Kesedaran ini boleh menjadikan seseorang itu menyedari keesaan Allah. Semuanya ini adalah di antara jalan utama dalam tujuan memperkuatkan iman seseorang terhadap Allah s.w.t.

Pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat seperti yang dijelaskan di atas bukanlah merupakan satu amalan baru di kalangan umat Islam biarpun ramai orang yang masih meragui kesahihannya. Keraguan itu timbul ialah kerana kurangnya pemahaman terhadap sejarah ilmu perubatan dan al-Quran sendiri. Sebagai contoh, al-Quran mengulangi beberapa kali ungkapan yang membawa makna kesembuhan penyakit. Antaranya (Surah al-Isra':82).

Mahfumnya: Dan Kami turunkan di atas (isi) al-Quran, sesuatu yang boleh menyembuhkan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Di dalam al-Quran terdapat enam ayat yang menyentuh penggunaan perkataan yang membawa makna kesembuhan. Ayat-ayat itu dikenali sebagai " Ayat Ash-Syifa' ". (Sila rujuk al-Quran, At-Taubah:14, Yunus:57, Al-Nahl:69, Al-Israa':82, Asy-Syu'araa':80 dan Fussilat:44)

Sehubungan dengan ini pernah berlaku suatu kisah, di mana seorang Sahabat Nabi mengalami sejenis penyakit yang sudah puas diubati dengan berbagai cara perubatan, tetapi tidak juga sembuh. Pada suatu hari pesakit itu telah diziarahi oleh seorang temannya. Pesakit tersebut mengadu halnya yang telah puas berikhtiar tetapi masih belum disembuhkan Allah. Teman tersebut bertanya sama ada dia telah membaca " Ayat Ash-Syifa' " . Pesakit itu mengatakan belum, lalu teman tadi pun membaca " Ayat Ash-Syifa' " yang akhirnya dengan izin Allah s.w.t. ia pun sembuh.

Ulama-ulama terdahulu telah banyak membicarakan tentang rawatan secara ini dan mengumpulkannya dalam beberapa buah buku yang terkenal antaranya: At-Tibbu 'n-Nabawi, At-Tibb wa 'r-Rahmah, Zadu 'l Ma'ad fi Hadyi Khairi 'l-'Ibad dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan Alupathy (perubatan moden seperti di hospital) buat masa kini merupakan suatu pilihan utama manusia moden untuk ikhtiar menyembuhkan penyakit. Hospital-hospital dan klinik-klinik yang dilengkapkan dengan segala kemudahan dan kepakaran menjadikan tempat-tempat ini tumpuan utama. Akan tetapi suatu hal yang amat nyata bahawa tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan cara tersebut. Masih banyak penyakit yang masih belum dapat ditemui ubatnya oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan dengan cara moden, pesakit akan berusaha mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu peluang perlu disediakan agar pesakit-pesakit itu tidak putus asa dalam usaha mencari kesembuhan.

Kaedah pengubatan yang diusahakan di Darussyifa' ini tidak sekali-kali bermaksud untuk mengambil alih tugas yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital atau di klinik-klinik. la adalah merupakan satu rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar setelah pesakit-pesakit berusaha melalui cara perubatan tersebut, tetapi belum lagi disembuhkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya sesuatu penyakit terjadi, kita memang menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa, iaitu di hospital-hospital atau di klinik-klinik. Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berjaya, maka barulah pengubatan cara ini perlu dikhtiarkan.

Apa yang diusahakan di Darussyifa' ini adalah sebahagian kecil dari ilmu yang sangat luas yang telah lama diamalkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Hanya Allah s.w.t. sahaja yang maha sempurna lagi maha benar manakala yang salah dan silap itu adalah dari insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah kita memohon rahmat dan berkat semoga Allah sentiasa mengabulkan usaha kita semua dan menjadikan amalan kita yang tidak seberapa ini sebagai amalan yang soleh.

Sekian.

Wassalam.

Salam hormat dari saya,

Dato' Dr. Haron Din
http://www.darussyifa.org/

Read more...

Muqoddimah

>> Monday, November 30, 2009

Assalamualaikum...

Dan Kami turunkan dari Al-Qur`an(sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (Al-Qur`an itu) hanya akan menambah kerugian

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP