Asas Pengubatan Darussyifa'

>> Tuesday, December 1, 2009

Perkembangan ilmu pengetahuan akan terus maju menurut perkembangan daya fikir manusia. Di Malaysia, amalan merawat pesakit dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis, contoh sunnah Rasulullah, doa-doa yang digunakan oleh para anbiya' adalah merupakan satu bidang yang masih agak baru. Usaha untuk mengatur segala bentuk rawatan pesakit melalui cara ini dalam satu kaedah yang jelas, teratur dan dapat dimanfaatkan boleh dikatakan amat berkurangan biar pun memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ramai para pengamal perubatan Melayu tradisional yang menyumbangkan tenaga mereka dengan menggunakan kaedah ini.

Perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Memang terdapat beberapa rangkaian kata Melayu yang digunakan dalam kaedah ini, tetapi penggunaan rangkaian kata yang dapat difahami maknanya serta tidak mengandungi ungkapan kata yang menyalahi hukum yang diharamkan Allah di samping tidak mengandungi kata-kata yang membawa syirik. Semua yang diamalkan ini adalan tidak bersalahan dengan ajaran Islam.

Pada hakikatnya, usaha membongkar kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah untuk tujuan rawatan penyakit, adalah masih di peringkat awal. la memerlukan keikhlasan, minat, pengamatan yang serius serta ketabahan yang berterusan. Kejayaan usaha seumpama ini adalah bergantung kepada usaha-usaha yang dijelaskan diatas.

Pendedahan kandungan al-Quran, contoh-contoh sunnah Rasulullah dan doa-doa yang dijelaskan yang berkaitan dengan sumber wahyu dan sejarah Islam boleh memberi satu kesedaran yang agong kepada umat Islam untuk mengkagumi dan menghargai betapa besamya peranan Kitab Allah yang selama ini menjadi panduan dalam kehidupan seseorang. Kesedaran ini boleh menjadikan seseorang itu menyedari keesaan Allah. Semuanya ini adalah di antara jalan utama dalam tujuan memperkuatkan iman seseorang terhadap Allah s.w.t.

Pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat seperti yang dijelaskan di atas bukanlah merupakan satu amalan baru di kalangan umat Islam biarpun ramai orang yang masih meragui kesahihannya. Keraguan itu timbul ialah kerana kurangnya pemahaman terhadap sejarah ilmu perubatan dan al-Quran sendiri. Sebagai contoh, al-Quran mengulangi beberapa kali ungkapan yang membawa makna kesembuhan penyakit. Antaranya (Surah al-Isra':82).

Mahfumnya: Dan Kami turunkan di atas (isi) al-Quran, sesuatu yang boleh menyembuhkan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Di dalam al-Quran terdapat enam ayat yang menyentuh penggunaan perkataan yang membawa makna kesembuhan. Ayat-ayat itu dikenali sebagai " Ayat Ash-Syifa' ". (Sila rujuk al-Quran, At-Taubah:14, Yunus:57, Al-Nahl:69, Al-Israa':82, Asy-Syu'araa':80 dan Fussilat:44)

Sehubungan dengan ini pernah berlaku suatu kisah, di mana seorang Sahabat Nabi mengalami sejenis penyakit yang sudah puas diubati dengan berbagai cara perubatan, tetapi tidak juga sembuh. Pada suatu hari pesakit itu telah diziarahi oleh seorang temannya. Pesakit tersebut mengadu halnya yang telah puas berikhtiar tetapi masih belum disembuhkan Allah. Teman tersebut bertanya sama ada dia telah membaca " Ayat Ash-Syifa' " . Pesakit itu mengatakan belum, lalu teman tadi pun membaca " Ayat Ash-Syifa' " yang akhirnya dengan izin Allah s.w.t. ia pun sembuh.

Ulama-ulama terdahulu telah banyak membicarakan tentang rawatan secara ini dan mengumpulkannya dalam beberapa buah buku yang terkenal antaranya: At-Tibbu 'n-Nabawi, At-Tibb wa 'r-Rahmah, Zadu 'l Ma'ad fi Hadyi Khairi 'l-'Ibad dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan Alupathy (perubatan moden seperti di hospital) buat masa kini merupakan suatu pilihan utama manusia moden untuk ikhtiar menyembuhkan penyakit. Hospital-hospital dan klinik-klinik yang dilengkapkan dengan segala kemudahan dan kepakaran menjadikan tempat-tempat ini tumpuan utama. Akan tetapi suatu hal yang amat nyata bahawa tidak semua penyakit dapat disembuhkan dengan cara tersebut. Masih banyak penyakit yang masih belum dapat ditemui ubatnya oleh pakar-pakar perubatan moden.

Apabila sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan dengan cara moden, pesakit akan berusaha mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu peluang perlu disediakan agar pesakit-pesakit itu tidak putus asa dalam usaha mencari kesembuhan.

Kaedah pengubatan yang diusahakan di Darussyifa' ini tidak sekali-kali bermaksud untuk mengambil alih tugas yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital atau di klinik-klinik. la adalah merupakan satu rawatan alternatif untuk meneruskan ikhtiar setelah pesakit-pesakit berusaha melalui cara perubatan tersebut, tetapi belum lagi disembuhkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya sesuatu penyakit terjadi, kita memang menasihati pesakit-pesakit supaya mengutamakan rawatan biasa, iaitu di hospital-hospital atau di klinik-klinik. Setelah rawatan itu diusahakan tetapi tidak juga berjaya, maka barulah pengubatan cara ini perlu dikhtiarkan.

Apa yang diusahakan di Darussyifa' ini adalah sebahagian kecil dari ilmu yang sangat luas yang telah lama diamalkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Hanya Allah s.w.t. sahaja yang maha sempurna lagi maha benar manakala yang salah dan silap itu adalah dari insan yang bersifat lemah.

Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah kita memohon rahmat dan berkat semoga Allah sentiasa mengabulkan usaha kita semua dan menjadikan amalan kita yang tidak seberapa ini sebagai amalan yang soleh.

Sekian.

Wassalam.

Salam hormat dari saya,

Dato' Dr. Haron Din
http://www.darussyifa.org/

0 comments:

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP