Bolehkah manusia menentukan seseorang itu akan masuk Syurga atau Neraka?

>> Friday, April 8, 2011

Soalan

1. Ada ajaran yang dibawa di kampung saya diikuti oleh beberapa pengikut, sekarang agak ramai, kebanyakannya dari luar. Saya diberitahu mereka mengikut pengajaran Tok Ayah (gelaran mereka), akan ditabalkan menjadi “Wali” oleh Tok Ayah dengan bayaran tertentu.

2. Bolehkah manusia walau setinggi mana darjat ketaqwaannya kepada Allah, menentukan seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga sekiranya mengikut tarikatnya dan berjanji akan menyelamatkan pengikutnya daripada azab neraka?

MUHAMAS ABU KASIM
Bagan Serai

Penjelasan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din
Jawapan 1

Memang sekali sekala kita mendengar istilah Tok Ayah, kadang-kadang Ayah, sepertimana Ayah Pin. Kadang-kadang disebut Abuya yang bermakna ayah saya.

Semuanya berlaku dalam masyarakat kita. Tetapi berkaitan dengan soalan saudara ini, ada pengajaran yang disampaikan dan ada pengikut. Sememangnya Islam berkembang di atas perintah Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud; “Sampaikanlah kepada manusia daripada saya walaupun dari satu ayat”.

Dakwah adalah salah satu daripada tugas-tugas penting untuk menyebarkan Islam yang sebenar kepada maysarakat.

Kerana masyarakat peka kepada ilmu dan ingin kepada kelebihan-kelebihan dimiliki oleh orang-orang yang berilmu. Maka masyarakat mencari Ustaz, Guru, Tok Ayah, Abuya dan lain-lain untuk mendapat bimbingan kearah mendekati Allah SWT.

Pengajaran yang disampaikan kepada masyarakat, ada yang diasaskan kepada ilmu yang tulen dan tidak menyeleweng, ilmu yang menyampaikan ketakwaan kepada Allah SWT.

Ada ilmu yang tidak mungkin boleh disampaikan kepada orang, ialah ilmu untuk mengangkat seseorang untuk menjadi wali. Itu bukan kerja manusia, itu kerja Allah yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman kepada berbagai peringkat.

Apabila ada Tok Ayah hendak menabalkan atau melantik seseorang menjadi wali, maka ianya mungkin dimaksudkan bukan wali Allah, tetapi itu wali Tok Ayah, yang membawa makna pembela atau yang dekat dengannya. Tetapi wali Allah, Allah sahaja yang menentukannya.

Melihat daripada cara yang berlaku, bila mana seseorang itu mengangkat orang lain menjadi wali Allah itu adalah sesuatu yang menyimpang daripada maksud wali Allah yang sebenar.

Jawapan 2

Ketinggian darjat ketakwaan kita kepada Allah SWT, adalah Allah sahaja yang mengetahui. Itu pun tidak dijamin seseorang itu masuk syurga melainkan dengan kemuliaan, kerahmatan dan kemurahan Allah jua.

Amalan-amalan kita kepada Allah, adalah untuk Allah dan kerana Allah. Allah sahajalah yang akan membalasnya.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda kepada anak baginda, Fatimah yang bermaksud; “Beramallah kamu wahai Fatimah, kelak di akhirat , ayah tidak dapat membelamu dihadapan Allah SWT.”

Maksud hadis ini, hatta Nabi yang mempunyai ‘assyfa’atul uzma’ (syafaat yang tertinggi) yang boleh menolong orang yang perlukan pertolongan pada hari Akhirat, Nabi menyuruh puterinya beramal dan bersungguh untuk mendapat keredaan Allah, kerana Nabi sendiri pun tidak dapat membela anaknya, jika amalan didunia tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu, seseorang yang tinggi mana pun darjatnya, tidak boleh berjanji, hatta untuk dirinya sendiri, tidak pasti masuk syurga atau tidak. Hanya Allah menentukan.

Jika seseorang itu tidak boleh menjamin dirinya sendiri, bagaimana dia boleh menjamin diri orang lain masuk syurga dan terlepas dari api neraka?

Pada saya dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Pada pandangan hukum syarak tiada siapa yang boleh meramalkan perkara ghaib.

Read more...

Pengalaman Tuan Guru Dato' Dr Haron Din Masuk Dalam Kaabah

>> Thursday, January 20, 2011



Bahagian Pertama (Kuliah Subuh di Mekah pada 18 April 2005)

Saya pernah tawaf di Baitullah seorang diri. Pelik tetapi benar. Waktu itu iaitu empat tahun sudah (2001) saya datang ke Mekah, Allah taala lah yang mengaturkannya, saya dapat peluang untuk masuk ke dalam Kaabah. Sebab saya datang atas tetamu tokey yang membuat dan membersihkan Masjidil Haram.

Pagi itu saya datang awal. Pengawal keselamatan baru memagar keliling Kaabah dan saya dapat masuk ke dalam pagar itu sebab saya ada Pass VIP. Ketika itu tetamu-tetamu lain tak sampai lagi. Ketika itu lah saya tawaf seorang diri di hadapan Kaabah. Lepas saya habis tawaf baru tetamu-tetamu lain sampai. Ketika itulah saya nampak Hajarul Aswad seterang-seterangnya, ia tidak lagi hitam tetapi sudah kemerah-kemerahan.

Bila pintu Kaabah di buka saya orang yang ke tiga masuk ke dalam. Pertama pembuka pintu Kaabah iaitu daripada Bani Syaibah.

Pembuka pintu itu sudah tua, dia melatih anaknya yang berumur lebih kurang empat tahun untuk membuka pintu Kaabah itu.

Sejarah pintu Kaabah itu, kalau orang yang lain tidak boleh buka. Dia hanya boleh di buka oleh pemegang kunci itu sahaja dari keturunan Bani Syaibah. Bila Nabi meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang di amanahkan untuk memegang kunci kaabah sejak turun temurun.

Bila nabi balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah, nabi menang dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi menghantar Sayidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Sayidina Ali pergi ke Bani Syaibah dan rampas kunci tersebut. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah nak di buka tak boleh. Sekejap sahaja datang Jibrail kepada Nabi membawa wahyu dari Allah. Al-Quran (An-Nisaa’:58)

Mahfumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”

Nabi bagi balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila bagi balik, Bani Syaibah kata mesti dia seorang nabi. Kalau dia bukan seorang nabi pasti dia gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.

Budak kecil tadi dibawa tangannya untuk pegang kunci oleh bapanya kemudian di buka dan di tolak pintu itu. Saya lihat di depan saya. Berapa besar pintu itu? Berapa tebalnya? Pintu itu dibuat dari Solid Gold beratnya 8 tan. Dia tolak senang sahaja, kemudian kami masuk.

Mula-mula sekali saya pergi sembahyang di satu ruang belakang pintu Kaabah yang menghadap ke arah Hajaral Aswad (dari dalam) iaitu di bahagian Multazam. Selama sejam saya berada di dalam Kaabah itu.

Di dalam Kaabah itu masih ada lampu yang digunakan pada zaman nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu.







Bahagian Kedua (Kuliah Pengubatan pada 12-Feb-2007)

Saya membantu salah seorang yang terkaya di Saudi Arabia, multi-billionaire, semua projek di Saudi dia yang buat. Dia ada masalah keluarga mintak tolong saya ikhtiarkan. Allah nak tunjukkan bahawa masalah yang dihadapi itu telah terlalu lama, ada duit yang banyak pun tak boleh selesai.

Dia tunggu saya di airport Jeddah dengan jet peribadi. Saya tak pergi imigresen dia terus ambil saya dari tangga kapal terbang terus masuk ke jet dia. Sungguh kuat pengaruh dia, saya tanya passport saya bagaimana, tak ada masalah dia dah uruskan. Naik jet dia pergi ke Madinah. Saya selesaikan masalah dia dengan izin Allah SWT. Lepas itu biasalah adat orang Arab nak bagi itu nak bagi ini sebagai balasan.

Saya kata kepada dia, “Kalau kamu nak masalah itu selesai selama-lamanya dan tak berulang semula, jangan bagi pada aku apa-apa, kalau kamu bagi, aku boleh terima tetapi masalah itu akan berulang balik.”

Dia mintak maaf tetapi dia kata “Aku nak buat sesuatu untuk kamu apa yang kamu nak?”. Saya kata “Ok kalau begitu apa yang aku nak tolong bawak aku masuk ke dalam Kaabah.” Dia kata “Itu mudah sangat, esok pun aku boleh arah buka”. Saya kata “Tak apalah kamu arahlah”. Dia kata “Tak apa itu perkara kecil, mintak yang lain.” Saya kata “Tidak, itu paling besar pada saya. Kalau kamu boleh bawa masuk aku ke dalam Kaabah, itu sudah lebih daripada cukup.”

Akhirnya saya dapat masuk. Saya masuk dengan dia ke dalam Kaabah, itulah kenangan yang tak boleh saya lupa sampai hari ini.

Read more...

Kena Kafan buang SAKA???

>> Wednesday, January 5, 2011

PEKAN: Niatnya mahu membuang saka yang dipercayai berada dalam badan ibu, namun cara rawatan dikendalikan seorang pengamal perubatan tradisional tidak memuaskan hati keluarga itu apabila bertindak mengkafankan wanita warga emas itu seperti jenazah.

Dalam kejadian di Kampung Nenasi, dekat sini, Sabtu lalu, seorang ahli keluarga itu datang bersama pengamal perubatan terbabit yang dibawa dari Kuantan dengan tujuan membuang saka pada badan ibunya yang berusia 60 tahun.


Ketika proses rawatan, anak perempuan warga emas itu yang menyaksikannya terkedu apabila melihat ibunya dikafankan seperti jenazah menyebabkan wanita warga emas itu hampir lemas.

Melihat keadaan ibunya diperlakukan sedemikian, wanita terbabit kemudian mengarahkan pengamal perubatan tradisional itu berhenti melakukan upacara berkenaan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.


Difahamkan, pengamal perubatan tradisional berusia lingkungan 50-an itu terpaksa akur dengan permintaan anak perempuan mangsa yang meminta menghentikan upacara berkenaan.


Bagaimanapun, anak perempuan mangsa dan pengamal perubatan itu masing-masing membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Nenasi, dekat sini, kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman (gambar), ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.


“Kedua-dua pihak terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbang berlaku sesuatu perkara selepas upacara membuang saka pada badan wanita warga emas itu dihentikan.

“Bagaimanapun, polis tidak membuka kertas siasatan dan kes berkenaan dianggap selesai,” katanya.

Read more...

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP