Kena Kafan buang SAKA???
>> Wednesday, January 5, 2011
PEKAN: Niatnya mahu membuang saka yang dipercayai berada dalam badan ibu, namun cara rawatan dikendalikan seorang pengamal perubatan tradisional tidak memuaskan hati keluarga itu apabila bertindak mengkafankan wanita warga emas itu seperti jenazah.
Dalam kejadian di Kampung Nenasi, dekat sini, Sabtu lalu, seorang ahli keluarga itu datang bersama pengamal perubatan terbabit yang dibawa dari Kuantan dengan tujuan membuang saka pada badan ibunya yang berusia 60 tahun.
Ketika proses rawatan, anak perempuan warga emas itu yang menyaksikannya terkedu apabila melihat ibunya dikafankan seperti jenazah menyebabkan wanita warga emas itu hampir lemas.
Melihat keadaan ibunya diperlakukan sedemikian, wanita terbabit kemudian mengarahkan pengamal perubatan tradisional itu berhenti melakukan upacara berkenaan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Difahamkan, pengamal perubatan tradisional berusia lingkungan 50-an itu terpaksa akur dengan permintaan anak perempuan mangsa yang meminta menghentikan upacara berkenaan.
Bagaimanapun, anak perempuan mangsa dan pengamal perubatan itu masing-masing membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Nenasi, dekat sini, kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman (gambar), ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
“Kedua-dua pihak terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbang berlaku sesuatu perkara selepas upacara membuang saka pada badan wanita warga emas itu dihentikan.
“Bagaimanapun, polis tidak membuka kertas siasatan dan kes berkenaan dianggap selesai,” katanya.