Saka...
>> Tuesday, February 2, 2010
Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.
Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.
Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.
Saya (TG Dato` Haron Din) tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.
Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.
Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.
Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.
Atasilah saka adalah dengan melakukan amalan-amalan yang boleh memperkukuhkan jati diri muslim agar sentiasa berpegang kepada hukum-hukum Allah, membaca ayat-ayat Allah, khususnya pada surah-surah yang sabit keberkesanannya, di baca malam-malam hari di rumah. Seperti mengamalkan Surah al-Baqarah, Suratul Jin, Surah al-Fussilat, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah an-Nass dan zikir-zikir yang ma'thurat. Zikir-zikir ini boleh di dapati dalam berbagai versi percetakan.
Yang pentingnya hati kita mesti sentiasa mengingati Allah. Sama ada zikir dengan lidah, hati atau dengan akal yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah S.W.T, semuanya boleh digunakan sebagai cara-cara untuk mengatasi saka
1 comments:
salam ustaz..
Di sini sy nak bertanya berkenaan dengan mimpi2 sy sedang alami sekarang..sy pernah bermimpi sy mengandung,,sedang saya belum berkahwin..malah sy boleh melihat ade bayi di dalam perut sy dalam mimpi tersebut..baru-baru ini juga sy ada bermimpi yang sy bersalin..dalam mimpi tersebut sy mendapat seorg anak lelaki yg berkepala botak..dan kulitnya hitam..matanya besar..tp kelihatan dalam mimpi tersebut sy sgt syg terhadap bayi itu..apakah tandanya ustaz? sy pernah mendengar pada ceramah yg disampaikan oleh ustaz dalam pegamal perubatan, bermimpi tntg mengandung, atau berkenaan dengan bayi adalah bakal mewarisi saka..adakah ianya benar ustaz?
Post a Comment